AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Prinsip F.A.S.T.E.R jadi pegangan penjawat awam – KSN

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Prinsip F.A.S.T.E.R – flat, agile, streamlined, tech-enabled, efficient and resilient – perlu digenggam setiap penjawat awam dalam mendepani pandemik Covid-19, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata setiap jabatan perlu bekerja secara lebih ‘flatter’, iaitu bersifat terbuka tanpa terikat dengan peraturan yang lapuk dan terkongkong dengan pelbagai kerenah birokrasi.

“Contohnya dalam proses mendapatkan maklumat di antara kementerian dan jabatan, kita tidak boleh bekerja dalam kepompong kita semata-mata. Apabila sesuatu perkara menghendaki penyelesaian yang pantas, kita hendaklah segera duduk berbincang sebagai sebuah keluarga perkhidmatan awam,” katanya.

Mohd Zuki berkata demikian ketika merasmikan program KSN@Merdeka bersama penjawat awam bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putra, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad.

Beliau berkata prinsip agile dalam pelaksanaan kerja adalah supaya penjawat awam lebih fleksibel dan responsif dalam pelaksanaan sistem dan proses kerja serta tidak melengahkan permohonan rakyat atau pelanggan kerana alasan prosedur dan carta alir kerja.

Katanya pemikiran kreatif dan inovatif harus ada untuk memastikan setiap perkhidmatan yang diberikan dapat disampaikan kepada rakyat dengan mudah dan cepat berdasarkan peraturan yang digariskan.

Mohd Zuki berkata penjawat awam perlu lebih adaptif dan sensitif dengan perubahan dan keperluan semasa rakyat dan pemegang taruh terutama dalam situasi pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

“Contohnya dalam mendepani situasi pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) satu masa kelak, apakah bentuk penyampaian perkhidmatan baharu yang perlu dilakukan agar ia sesuai dengan perubahan persekitaran.

“Kalau sekarang dalam tempoh PKPP kita hanya boleh proses 100 permohonan dalam tempoh tiga hari, cuba fikirkan bagaimana selepas PKP nanti, kita boleh proses 100 permohonan mungkin dalam tempoh sehari atau beberapa jam sahaja,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat harus bersifat tech-enabled supaya teknologi digital dimanfaatkan serta perubahan zaman yang dikemudi oleh Revolusi Industri 4.0 dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Mohd Zuki berkata setiap pelaksanaan inisiatif mesti dilakukan dengan efisien dan cekap terutama dalam keadaan negara masih berada dalam tempoh pemulihan ekonomi kerana setiap kesilapan yang dilakukan bermakna kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan.

“Jika kita terlepas pandang mana-mana kumpulan sasaran dalam pemberian sesuatu insentif, maka ia mengakibatkan kerugian dari segi lambatnya prestasi perbelanjaan. Malah ia juga boleh membangkitkan kemarahan rakyat kepada perkhidmatan awam. Ini kita mesti elakkan,” katanya.

Mohd Zuki berkata prinsip resilient bermaksud setiap penjawat awam mesti kekal teguh bersama-sama kepimpinan perkhidmatan awam untuk merealisasikan strategi yang digariskan kerajaan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya berpegang kepada nilai integriti, kebersamaan, dinamik, interaksi dan khidmat bakti sebagai asas dalam memastikan kelestarian perkhidmatan awam bertunjangkan budaya kelas pertama menjelang pencapaian Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Mengenai program KSN@Merdeka, Mohd Zuki berkata perasaan cinta kepada negara perlu diterjemahkan melalui tindakan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, ruang pejabat dan kenderaan sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Katanya tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ‘Malaysia Prihatin’ bertepatan dengan aspirasi kerajaan iaitu seluruh rakyat bersatu dalam memerangi wabak Covid-19, serta usaha kerajaan menerusi inisiatif yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat.

Beliau berkata semangat ‘Malaysia Prihatin’ sebenarnya telah lama tersemat di jiwa setiap rakyat yang telah dizahirkan melalui rasa sayang, cinta dan kasih pada tanah air.

“Hasilnya keharmonian dan keamanan dalam negara kekal hingga kini. Kita mampu untuk hidup dengan penuh toleransi tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zuki menyertai program Kawah Prihatin Merdeka di Masjid Putra dengan aktiviti seperti pengagihan bubur asyura dan sumbangan pek nutrisi kepada wakil asnaf.

Program tersebut dianjurkan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), disertai 300 sukarelawan untuk menghasilkan bubur asyura.

-BERNAMA


Pengarang :