Selangorkini
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh (kiri) meninjau proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, Tanjung Malim pada 29 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PRK Slim: 41 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari

TANJUNG MALIM, 29 OGOS: Sebanyak 41 peratus daripada 22,749 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian yang bermula tepat jam 8 pagi berlangsung di 12 pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminuddin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

Sepanjang proses pengundian yang akan berakhir pada 5.30 petang ini, pematuhan garis panduan pencegahan Covid-19 dikuatkuasakan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru S. Santharasekaran.

SPR menyasarkan 85 peratus pengundi keluar mengundi hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :