Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa INPENS dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Program IKTISASS perkukuh rantaian keperluan tenaga mahir

KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Kandungan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) terus dikembangkan supaya ia dapat mewujudkan rantaian kukuh bersama pemain industri pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar berkata ekosistem teknologi kini memerlukan sumber tenaga manusia mahir selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0 malah lebih banyak institusi pengajian teknikal dan vokasional diperlukan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Penjenamaan semula (Kolej Antarabangsa) Inpens bukan hanya sekadar nama dan lambang sebaliknya ia mengisi lohong-lohong dan ruang kosong yang selama ini tidak dapat diisi kerana ekosistem teknikal dan vokasional yang boleh dikatakan bergerak secara sendirian serta tidak membina rantaian kukuh dan menyeluruh yang akhirnya menggagalkan usaha-usaha pembangunan.

“Selepas ini kita akan menambah beberapa usaha termasuk menubuhkan institusi teknikal dan vokasional yang akhirnya akan bergabung dengan rantaian institusi pengajian kita ada iaitu Universiti Selangor (Unisel) dan lain-lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa Inpens di sini semalam.

Beliau berkata perkembangan pembelajaran teknikal dan vokasional yang diamalkan negara maju seperti Jerman boleh dijadikan contoh hingga mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang kini berkhidmat bersama syarikat automotif besar seperti Mercedes dan BMW.

Menurut Amirudin Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM20 juta tahun ini bagi memantapkan program IKTISASS sebagai tanda sokongan.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan Sijil Tamat Latihan kepada 91 pelajar tajaan program IKTISASS yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada 2019.


Pengarang :