Ruang legar SACC Mall, Shah Alam pada 9 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program Jom Beli di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall diteruskan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Program Jom Beli di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall diteruskan sehingga akhir tahun ini bagi merancakkan aktiviti perniagaan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) Fakru Radzi Ab Ghani berkata program diadakan setiap hujung bulan sehingga minggu pertama bulan berikutnya mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Program ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan hasil jualan peniaga malah kita tidak mengenakan sewa terhadap peniaga kecuali kos pemasangan prasarana sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah walaupun kebanyakan hasil jualan peniaga kurang memberangsangkan namun terdapat peningkatan dari semasa ke semasa sejak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula pada 6 Mei lalu.

“Hasil jualan bergantung pada jenis perniagaan, misalnya produk makanan dan servis menunjukkan kenaikan lebih tinggi berbanding (produk) pakaian,” katanya lagi.

SelangorKini sebelum ini melaporkan peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall dibenarkan mempromosi jualan di ruang legar pusat beli-belah itu membabitkan 66 tapak jualan.

 


Pengarang :