Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 10 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guan Eng mengaku tidak bersalah terima suapan RM3.3 juta

BUTTERWORTH, 10 OGOS: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Lim, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown di sini antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Pertuduhan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Jumaat lepas, Lim turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu syarikat sama dilantik untuk melaksanakan projek serupa dan beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu bakal menghubungkan pulau ini dari Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam dengan anggaran kos RM6.3 bilion dan ia dijangka bermula pada 2023.

-BERNAMA


Pengarang :