AGENDAEKONOMINASIONAL

Prospek saham sarung tangan, bank, kesihatan, teknologi diramal baik

KUALA LUMPUR 16 OGOS: Maybank Investment Bank (Maybank IB) berpendapat saham bermodal pertengahan seperti dalam sektor kewangan, sarung tangan, penjagaan kesihatan, minyak dan gas serta teknologi dijangka kekal baik tahun hadapan.

Ketua Penyelidikan Runcitnya, Tee Sze Chiah, berkata memandangkan hanya tinggal empat bulan sebelum berakhirnya tahun ini, agak terlalu lewat untuk menyertai kerancakan perniagaan sarung tangan.

Bagaimanapun, banyak sektor yang boleh diintai untuk tahun hadapan, ujar beliau.

“Pertamanya, saham kewangan atau perbankan bermodal pertengahan, kerana saham kewangan menunjukkan tindak balas positif kepada pertumbuhan ekonomi.

“Tahun ini saya rasakan pertumbuhan ekonomi keluaran dalam negara kasar (KDNK) tidak berapa positif tetapi tahun hadapan, kita boleh menjangkakan pemulihan. Jadi, pada masa itulah, kita boleh berharap urus niaga bank akan meningkat kerana perniagaan dan pengguna sudah mula berbelanja.

“Dan pada asasnya, permintaan untuk produk kewangan juga akan meningkat dan ini akan dapat membantu keuntungan bank,” kata beliau kepada pemberita di acara Webinar Tinjauan Pasaran Separuh Kedua 2020 di sini, semalam.

Kedua, beliau berkata, sektor sarung tangan dan penjagaan kesihatan akan terus menunjukkan prestasi baik pada separuh pertama 2021.

“Untuk separuh pertama dan keputusan kewangan suku tahunan yang akan datang, seharusnya kekal kukuh kerana pada dasarnya, ia mencerminkan tunggakan semasa yang mereka ada pada masa ini.

“Jadi, beberapa tempoh suku berikutnya akan kekal kuat dan oleh itu, momentum kenaikan harga saham akan berterusan sehingga separuh pertama 2021. Bagaimanapun, memasuki separuh kedua, kita perlu berwaspada kerana pada waktu itulah, kita harus tahu sama ada sudah adakah vaksin Covid-19 dan yang pastinya kita menjangkakan permintaan akan kembali kepada sedia kala,” kata Tee.

Ketiga, ialah sektor minyak dan gas, ujar beliau sambil menambah penganalisis Maybank IB menjangkakan harga minyak yang tinggi dan momentum seharusnya ada.

Sektor lain yang boleh ditinjau ialah teknologi kerana penggunaan 5G merupakan prospek jangka panjang, tetapi dalam hal ini, pergerakan saham khusus amat penting.

Beliau berkata 5G tidak akan menguntungkan keseluruhan industri semikonduktor di Malaysia sambil menambah Malaysia adalah salah satu rantaian dengan kos dan nilai yang rendah di antara sektor semikonduktor dan mungkin hanya ada satu atau dua yang boleh mendapat keuntungan.

– BERNAMA


Pengarang :