Bilal Surau Al-Jannah Jafrey Bol, 55, mengunci pintu pagar selepas Jabatan Agama Islam Selangor mengeluarkan notis penutupan surau itu pada 7 Ogos 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Puas hati SOP, Jais benar surau Al Jannah dibuka semula

SHAH ALAM, 13 OGOS: Surau Al Jannah di Seksyen 23 di sini, dibuka semula hari ini selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berpuas hati dengan penambahbaikan tatacara operasi piawai (SOP) surau tersebut.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata kebenaran diberikan selepas ujian saringan terhadap tiga jemaah surau yang dikaitkan dengan individu positif Covid-19 mendapati mereka bebas jangkitan.

“Semalam iaitu pada hari ke-13 kuarantin, semua individu yang dipercayai mempunyai kontak rapat dengan kes Covid-19 menjalani saringan kali kedua dan bebas jangkitan.

“Jais bersetuju memberi kebenaran Surau Al-Jannah dibuka dan berharap kejadian ini memberi pengajaran kepada pengurusan masjid dan surau supaya mengekalkan tahap disiplin serta patuh SOP,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata Jawatankuasa Khas Pemantauan Pematuhan Masjid Surau terus memantau pematuhan SOP bagi mengelak penularan Covid-19.

Pada 7 Ogos Surau Al-Jannah di Seksyen 23 diarahkan tutup susulan seorang jemaahnya dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Sekolah KAFA Integrasi Al-Jannah di lokasi yang sama turut ditutup.


Pengarang :