Peserta kelas jahitan Pusat Aktiviti Komuniti Berdaya (PAKB) Majlis Perbandaran Subang Jaya sedang menjahit pakaian pelindung PPE di Kompleks 3C MPSJ, Subang Jaya pada 11 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pusat aktiviti komuniti MPSJ bantu penduduk mahir menjahit, memasak

SUBANG JAYA, 11 OGOS: Pusat Aktiviti Komuniti Berdaya (PAKB) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang dilancar awal tahun lalu berjaya menghasilkan 2,600 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) sejak Mac.

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MPSJ, Rubaizah Mohamed Noh berkata ia hasil kerja 14 sukarelawan terdiri dari kakitangan majlis dan peserta latihan jahitan.

“Ketika wabak Covid-19 melanda negara kita ambil inisiatif menyediakan keperluan petugas barisan hadapan memandangkan PKAB mempunyai kemahiran menjahit.

“Ini membuktikan usaha membangunkan PKAB berkesan,” katanya selepas majlis perasmian pusat komuniti itu yang disempurnakan EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, V Ganabatirau hari ini.

PAKB dijalankan di Kompleks 3C MPSJ bertujuan melatih golongan berpendapatan rendah (B40), orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal atau peniaga industri kecil sederhana dalam bidang masakan serta jahitan sebelum bergelar usahawan.

Rubaizah berkata melalui program itu individu sekitar Subang Jaya ditawarkan latihan kursus bagi membantu mereka mendapat kemahiran.

“Peserta akan menjalani beberapa fasa pembelajaran antaranya sesi taklimat serta amalan praktikal. Latihan setiap hujung minggu dengan had 20 individu. Kebanyakan penduduk sekitar kawasan ini,” katanya.


Pengarang :