Set Al-Quran yang akan diserahkan kepada penerima pada Majlis Penyerahan Bingkisan Wakaf Buat Ummah My #QuranTime Shah Alam pada 27 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGAMASELANGOR

Pusat Kecemerlangan Al-Quran Dunia konsep wakaf dibina di Bangi

SHAH ALAM, 27 OGOS: Pusat Kecemerlangan Al-Quran Dunia sebuah institusi yang diwujudkan khusus bagi memahami isi kandungan Al-Quran akan dibina di Seksyen 14, Bangi dekat sini, tahun depan.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata institusi itu bakal menempatkan bahan rujukan pelbagai bahasa mengenai Al-Quran dan agama Islam bagi membolehkan umat Islam dan juga penganut bukan Islam mengenali agama itu dengan lebih mendalam.

“Pembinaan pusat berkonsepkan wakaf itu akan mengambil masa dua tahun dari tempoh yang dirancang dan kita sekarang dalam proses untuk mereka bentuk bangunan di kawasan seluas satu setengah ekar itu.

“Apabila siap nanti, ia bukan sahaja boleh menjadi tempat umat Islam memahami Al-Quran dan agama Islam, tetapi sebagai lokasi untuk berdakwah selain menjadi pusat penyelidikan yang menawarkan bahan rujukan pelbagai bahasa,” katanya pada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bingkisan Program ‘Wakaf Al-Quran Buat Ummah’ di sini, hari ini.

Hussamuddin berkata program Wakaf al-Quran untuk Ummah fasa ketiga turut dilancarkan seiring program My #QuranTime yang bersiaran di TV Al Hijrah setiap hari.

“Bagi fasa ketiga ini, mana-mana individu yang ingin berwakaf boleh memberi sumbangan serendah RM10 atau RM500 bagi satu set Al-Quran.

“Melalui projek ini, masyarakat diberi landasan untuk mempraktikkan wakaf naskhah Al-Quran kepada barisan hadapan, pusat tumpuan komuniti dan mereka yang memerlukan, sebagai manfaat dengan menjunjung misi baca, faham dan amal Al-Quran,” katanya.

Hussamuddin berkata setakat ini pihaknya telah mengagihkan 114,795 naskhah wakaf al-Quran pada fasa pertama dan fasa kedua kepada petugas barisan hadapan serta di beberapa lokasi terpilih seluruh negara.

-BERNAMA


Pengarang :