Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pusat tanam padi empat musim tarikan baharu Sekinchan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Sekinchan mewujudkan pusat tanaman padi empat musim sebagai tarikan baharu pelancong menjelang Tahun Melawat Selangor 2021.

Wakil rakyatnya Ng Suee Lim berkata pengunjung juga boleh merasai pengalaman melihat kawasan tanaman pokok kelapa laut berhampiran bendang.

“Program Cuti-Cuti Sekinchan membawa pelancong ke pusat tanaman padi empat musim yang menunjukkan proses penghasilan beras bermula dari menuai, membanting, mengangin dan mengilang.

“Kita turut mewujudkan kawasan tanaman pokok kelapa laut sebagai salah satu produk pelancongan baharu di Sekinchan,” katanya ketika temu bual bersama Media Selangor.

Suee Lim berkata kawasannya semakin popular termasuk dalam kalangan pengunjung luar antaranya Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China.

Beliau berkata kebanyakan teruja melihat bendang, menyentuh dan merentas batas padi, berbasikal atau memancing sambil menunggu matahari terbenam.

“Kita akan bekerjasama dengan Tourism Selangor untuk mempromosi keunikan Sekinchan dalam usaha memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19, ” katanya.


Pengarang :