BUDAYARENCANA

Qxysmina

Oleh Nieyna J

DALAM putih ada hitam, dalam hitam ada putih.

Ceritanya bermula dengan seorang perempuan bernama Qxysmina. Qxsymina serumit ejaan namanya, namun dia hanya seorang perempuan berskala biasa, memilih kopi sebagai menu sarapan dan memiliki keinginan untuk berkeluarga. Tapi ada sesuatu tentang Qxysmina yang berjaya menarik jiwa ingin tahuku untuk berhubungan dengannya – sebagai teman bicara.

Minggu lalu, aku tak ingat hari apa dan berapa haribulan, Qxsymina menjemputku ke rumahnya. Aku terkejut dan meneka mungkin Qxsymina ingin bersembang hal-hal besar dan intim, melanjutkan hubungan kami daripada pasangan kenalan kepada sahabat. Aku teruja sehingga tidak dapat menyebut perkataan lain selain “ya”. Sebelum itu, kami makan-makan di warung mi rebus berdekatan apartmennya sebelum balik berjalan kaki seperti yang kami lakukan dalam pertemuan-pertemuan sebelum ini. Katanya, berjalan kaki adalah terapi selain mempercepatkan proses pencernaan makanan.

Masih segar di ingatan perbualanku dengan Qxsymina ketika senja ketiga aku menemaninya berjalan kaki. Qxsymina memberiku satu soalan: Pencuri tidak akan muncul jika di dunia ini tidak ada kunci. Kunci adalah kebebasan. Juga kurungan. Jika sesuatu ruang tidak mempunyai pintu, maka ruang itu boleh dimasuki sesiapa sahaja. Dan jika ruang itu mempunyai pintu dan kunci, ia seakan-akan kurungan. Jadi, menurutmu, bagaimana manusia memiliki ruang peribadi dengan mutlak dan polos? Tanpa keraguan, keterpaksaan dan kepentingan diri semata-mata? Sehingga hari ini, aku tiada jawapan untuk soalannya itu.

Sesampainya di hadapan pintu rumah Qxsymina, adrenalin mengalir deras, jantungku berdegup kencang. Qxsymina memulas tombol pintu, menjemputku masuk. Kemudian terus dia ke dapur meninggalkanku yang telah mengambil tempat duduk di sofa.

Qxsymina kembali dengan membawa dua gelas milo panas. Dihulurkannya segelas untukku sebelum mengajakku ke kamar tidurnya. Aku pada mulanya teragak-agak kerana masih terlalu awal untuk masuk ke ruang peribadi seseorang yang baru peringkat kenalan bukan sahabat atau lebih daripada itu. Tetapi selepas dipujuk dengan satu jelingan berenigma, aku akhirnya menerima ajakannya itu.

Qxsymina duduk di kerusi berhadapan meja tulis, manakala aku di hujung katil sambil memerhati sekeliling. Qxsymina membuka ikatan rambutnya kemudian mengikatnya kembali. Telefon bimbitnya berdering namun dibiarkan sahaja.

“Kau nak makan apa-apa?” Soal Qxsymina.

Aku geleng kepala.

“Masih kenyang makan mi rebus tadi, terima kasih,” balasku sambil menarik senyuman nipis pada akhir ungkapan. Senyuman itu dibalas dengan simbol ‘okay’ dari jari Qxsymina.

Qxsymina bangun mendekati tingkap, membukanya sedikit. Angin sepoi-sepoi bahasa masuk, memberi kami aroma selesa. Selepas itu, Qxsymina kembali duduk di kerusi dan mencapai sebalang kerepek pisang di meja tulis.

“Kau tahu kenapa manusia cipta tingkap?” soal Qxsymina sambil mengunyah.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

“Untuk melihat dunia luar? Di sebalik dinding yang menutupi pandangan?” balasku.

Qxsymina ketawa. Aku menyampah dengan ketawa sinisnya. Tapi jauh di sudut hati, sebenarnya aku suka. Ya, aku suka.

“Tingkap yang manusia cipta ada lebih daripada satu fungsi. Contohnya, dalam rumah ini ada tiga ruang. Setiap ruang ada fungsi tersendiri, begitu juga tingkap yang diciptakan untuk ruang-ruang tersebut.”

Qxysmina mencicip sedikit Milo yang masih panas sebelum menyambung.

“Tingkap di dalam bilik ini memperlihatkan suasana yang lain daripada tingkap di dapur dan ruang tamu. Kau rasa kalau tingkap bilik aku memberikan pemandangan lorong-lorong gelap dan menakutkan, aku akan dengan senang hati membukanya pada malam hari?”

Aku menggelengkan kepala beberapa kali.

“Soalan itu sepatutnya kau jawab sendiri.”

Qxysmina ketawa kecil sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Tentunya tak. Jika tingkap di dapur memberikanku pemandangan langit biru dan cerah setiap pagi dan bintang-bintang terang, pasti akan kuhabiskan waktu di sana walaupun dapurku tidak senyaman dan secantik kamar tidurku.”

“Ya, aku pun akan buat perkara yang sama,” balasku, mengeyakan kenyataannya.

“Itulah tingkap yang kita buka hari-hari. Tingkap yang memberikan ketenangan pada waktu siang yang resah dan malam yang mesra. Tingkap yang tidak dapat ditiru untuk diletakkan di mana-mana ruang yang kita mahu. Seperti tingkap yang sedang aku pandang pada kau sekarang.”

Aku tercegang. Dengan spontan aku menyoal.

“Apa?”

“Mata,” balas Qxymina.

Aku memandang Qxsymina. Qxsymina menarik senyuman nipis, kepalanya ditekurkan ke pinggir meja sambil pandangan matanya dilempar ke arahku.

“Ya, mata. Pandangan mata, satu-satunya jendela yang tidak dapat ditiru atau disalin. Pengalaman memandang jauh ke dalam mata seseorang tidak dapat ditulis tepat walaupun kau cuba mewujudkannya sebagai sebuah sajak yang indah. Rasa itu tidak akan sama seperti kau berhadapan dengannya.”

Aku terkesima dengan kata dan pandangan mata Qxsymina. Kami beradu pandang buat seketika.

“Mata adalah jendela kepada hati. Kalau dilihat, mata kita ada hitam dan putih. Betul tak?”

Aku seperti biasa hanya mengangguk.

“Dalam hitam ada putih, dalam putih ada hitam,” bisik Qxsymina.

“Maksudnya?” Soalku.

Qxsymina meletakkan balang kerepek pisang di atas meja sebelum membalas,

“Sama ada kau sedar atau tidak, cebisan-cebisan kecil persoalan yang tuhan berikan, jawapannya ada pada setiap tingkap kehidupan kita. Kita hanya perlu membuka setiap tingkap yang ada. Mungkin ini sudah menyimpang dari apa yang kita bualkan tadi, tapi percayalah, pecahan-pecahan perbualan kita membentuk satu kosmik kehidupan seperti Yin dan Yang yang mempunyai banyak tafsiran dan falsafah. Bagiku, kita berada dalam satu bulatan yang sama. Bezanya cuma warna. Dalam bulatan Yin dan Yang, ada satu garis pemisah hitam dan putih. Garis itu bagiku adalah tingkap. Tingkap untuk kita melihat satu sama lain. Bergerak mencari kebahagiaan. Menunaikan harapan-harapan tertangguh. Selagi ada tingkap, selagi itu ada ruang perubahan. Jadi, bukalah tingkap di setiap sudut pandangan hidup untuk merasai sendiri kehidupan di sebaliknya.”

Sekali lagi Qxsymina membuatkan aku terpegun. Kata-kata dari lidahnya berdenyut dalam satu harakat yang mengasyikkan.

“Aku faham maksudmu. Seperti yang kau kata, mata adalah tingkap kepada hati. Tidak ada hati yang hitam sepenuhnya, tidak ada hati yang putih sepenuhnya. Jika begitu, kita pasti akan terus ke neraka atau syurga. Tetapi kita berdiri di Bumi. Kita, manusia, semuanya. Bermaksud ada ruang perubahan.”

Segaris senyuman terukir di bibir mongel Qxsymina. Memandang tepat ke dalam mata hitamnya memberiku satu kesunyian yang mengasyikkan. Mungkin mata itu akan menjadi sebuah tingkap yang bakal aku buka setiap hari. Dari tingkap bilik Qxsymina, kami sama-sama membuang pandangan ke arah rona senja yang semakin kelam dan Maghrib yang semakin tua.

Jangan risau, dalam hitam ada putih, dalam putih ada hitam.


Pengarang :