Orang awam berjalan melintasi Johor dan Singapura ketika kedua-dua negara memperketatkan kemasukan ke negara masing-masing ekoran Covid-19 pada 1 April 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat Malaysia-Singapura kembali rentas sempadan lepas enam bulan

SHAH ALAM, 17 OGOS: Rakyat Malaysia dan Singapura kembali merentas sempadan hari ini melalui Tambak Johor, selepas hampir enam bulan ditutup susulan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 2,060 rakyat kedua-dua negara dibenar melalui laluan darat paling sibuk di dunia itu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat, lapor BHOnline.

Kebenaran rentas sempadan fasa pertama membabitkan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) bagi individu terlibat perniagaan penting dan tujuan rasmi.

Skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) pula meliputi penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi urusan kerja dan perniagaan.

Minggu lalu, Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir dilapor berkata kuota tiga hari untuk pergerakan rentas sempadan di bawah kedua-dua skim sudah penuh.

Beliau memaklumkan menerima antara 50 hingga 60 permohonan RGL sehari, selain 6,000 permohonan untuk PCA bagi tempoh berkenaan.

Skim RGL menetapkan hanya 400 orang bagi tempoh seminggu atau sehari antara 50 hingga 60 orang manakala jumlah pemohon PCA pula 2,000 orang sehari.


Pengarang :