Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rancang waktu solat jika jalan jauh, supaya lebih sempurna

SHAH ALAM, 3 OGOS: Umat Islam yang bermusafir sepatutnya merancang waktu dan tempat solat supaya ibadah berkenaan dapat dilaksanakan dalam keadaan tenang serta selamat.

Mufti Selangor berkata pada masa sama, perancangan awal dapat mengelak salah faham masyarakat seperti kejadian pengguna lebuh raya menunaikan solat di lorong kecemasan lebuh raya.

“Solat itu kewajiban fardu ain dan tidak boleh ditinggalkan. Namun kita perlu mencari tempat sesuai demi menjaga keselamatan dan kebersihan kerana ia dituntut dalam Islam.

“Oleh sebab itu ada solat jamak iaitu menghimpunkan solat Zohor dan Asar, begitu juga Maghrib dan Isyak. Saya nasihatkan, jika ingin melakukan perjalanan jauh, rancang waktu solat terlebih dahulu kerana Islam sendiri tidak mahu umatnya mencampakkan diri ke tempat yang bahaya,” kata Dato’ Mohd Tamyes Abdul Hamid kepada SelangorKini.

Baru-baru ini, tular di media sosial menunjukkan pengguna lebuh raya menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akibat kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidiladha.

Susulan itu, pemegang konsesi KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad memaklumkan ia dikhuatiri boleh menyebabkan penunggang motosikal atau kenderaan lain yang mungkin tidak menyedari kehadiran individu di lorong kecemasan tersebut.


Pengarang :