Keadaan tidak menyenangkan akibat jerebu tebal di Banda Aceh pada 24 September 2019. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rang Undang-Undang jerebu rentas sempadan tidak diteruskan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kerajaan tidak akan meneruskan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Jerebu Merentas Sempadan selepas meneliti kewajaran penggubalan rang undang-undang itu, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

Kementerian memaklumkan penelitian itu merangkumi kebolehlaksanaan undang-undang yang akan digubal, hubungan diplomatik dan elemen pencegahan pencemaran alam sekitar.

“Perkara ini mengambil kira maklum balas daripada pakar undang-undang bahawa tindakan undang-undang hanya dapat diambil terhadap syarikat milik atau berkaitan Malaysia yang beroperasi di luar negara sekiranya bukti jelas daripada negara yang menjadi punca jerebu merentas sempadan diperoleh.

“Isu jerebu merentas sempadan tidak dapat diselesaikan hanya dengan penggubalan akta atau undang-undang. Kerajaan juga tidak mahu akta yang digubal berupa kosmetik sahaja tanpa mempunyai sebarang upaya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pesalah yang menyebabkan jerebu,” menurut kementerian itu.

Kasa memaklumkan perkara itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Yeo Bee Yin (PH-Bakri) sama ada kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Jerebu Merentas Sempadan.

“Kerajaan percaya jalan yang lebih baik adalah bekerjasama dengan negara jiran dan semua negara anggota Asean untuk menangani masalah ini secara kolektif.

“Dalam hal ini, Kasa akan melaksanakan pendekatan secara ‘top down’ dan ‘bottom up’ melalui hubungan diplomatik yang erat dan kerjasama teknikal bagi memantapkan lagi keupayaan teknikal antara negara khususnya dalam bidang penyelidikan, teknologi berkaitan pengurusan tanah gambut serta operasi pemadaman kebakaran,” menurut kementerian itu.

Kementerian berkenaan menjelaskan perkara itu adalah selaras dengan Artikel 16 iaitu Kerjasama Teknikal dan Artikel 17 iaitu Kajian Saintifik dalam Perjanjian Asean mengenai jerebu merentas sempadan, yang antara lain menekankan perkongsian kepakaran teknologi, teknik dan pengetahuan.

Selain itu, pendekatan tersebut mampu memperkukuh hubungan diplomasi dan mengeratkan hubungan baik antara Malaysia dengan negara anggota Asean terutama Indonesia dalam menangani isu jerebu merentas sempadan supaya ia dapat dicegah, dikawal serta ditangani dengan baik.

Kerajaan juga akan meneliti dan menambah baik pelan komunikasi insiden jerebu merentas sempadan bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, berkesan serta mengelak pertikaian yang mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara jiran.

– BERNAMA


Pengarang :