Orang ramai bergambar ketika menikmati daging bakar di BBQ Lamb KL Kemensah
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Rasai suasana unik makan dalam sungai

Singsing kaki seluar atau kain, tanggalkan kasut, sarungkan selipar atau berkaki ayam sahaja. Perlahan-lahan harung kejernihan air sungai separas betis sambil merasai kedinginannya.

Labuhkan punggung ke bangku kayu – di tengah-tengah sungai. Ya, di tengah-tengah, bukan di tebing! Tunggu pesanan tiba dan nikmatilah kelazatan hidangan ditemani muzik alam – kicauan merdu burung-burung.

Tambahan pula, suasana kehijauan restoran BBQ Lamb KL Kemensah di Hulu Kelang yang mengekalkan konsep gaya kampung terasa mendamaikan.

Restoran diusahakan Zainuddin Yatim, 52, bukan biasa-biasa. Biarpun tidak jauh, hingar-bingar kota metropolitan terasa sayup. Namun, reputasi lokasi itu tidak sunyi dari menjadi buah mulut orang, bahkan mendapat liputan media antarabangsa.

Kunjungan artis

Beberapa kali muncul di dada akhbar luar negara antaranya Italy, China dan Australia, restoran itu kerap dikunjungi artis tempatan, bahkan selebriti luar negara termasuk penyanyi, penulis lagu dan pengacara televisyen Amerika Syarikat berketurunan Korea, Eric Nam.

Selebriti Amerika Syarikat berketurunan Korea, Eric Nam pernah berkunjung ke BBQ Lamb KL Kemensah

Justeru, pengunjung lazimnya membuat tempahan seawal dua atau tiga minggu untuk hujung minggu dan cuti umum. Pada hari biasa, memadai dibuat sehari sebelumnya.

Jika tidak, mereka mungkin terpaksa menunggu sampai dua jam pada hari cuti, bergantung kepada kekosongan meja. Perniagaan beroperasi antara jam 10 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.

Sebenarnya, Zainuddin mendapat idea daripada rakannya, pengusaha restoran dalam sungai di Ipoh sebelum memulakan operasinya pada 7 Julai 2017 dengan modal hampir RM200,000.

Kebanyakannya dihabiskan untuk membina benteng penahan hakisan, tempat memasak, rumah asap, kerusi meja, peti sejuk beku dan kelengkapan lain.

Beliau lebih senang menganggap restoran itu sebagai kedai makan, bukan pusat peranginan mewah yang memerlukan pelanggan berpakaian rapi atau berkasut tumit tinggi bagi wanita.

“Untuk menikmati suasana di sini, sebaik-baiknya cukup dengan pakaian santai dan berselipar sahaja seperti berada di kampung.

“Apabila selesai membuat pesanan di kaunter, pelanggan hanya perlu memakai selipar atau berkaki ayam untuk mengharung sungai ke meja” katanya sambil menyatakan meja dinaikkan jika hujan.

Mereka juga menyediakan topi mengkuang sekalipun meja makan selalunya redup dipayungi pohon-pohon hijau.

Hidangan salai

Keunikan restoran itu bukan semata-mata konsepnya sahaja, bahkan hidangannya enak. Daging kambing unik kerana ia disalai terlebih dahulu dalam rumah asap sebelum dipanggang. Ini menaikkan aroma dan rasa dalam hidangan.

Daging diperap dalam rumah asap sebelum dipanggang

“Proses ini mengambil masa kira-kira lapan jam bagi mendapatkan hasil terbaik. Selepas disalai, barulah dipanggang beberapa minit sebelum dibawa ke meja pelanggan,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan ramai, BBQ Lamb KL Kemensah menyediakan kira-kira 120 kilogram kambing, 100 kilogram daging lembu, 100 kilogram itik dan 150 kilogram ayam setiap minggu.

Mereka juga menyediakan masakan ayam kampung dan makanan Barat. Tidak ketinggalan makanan akuatik seperti udang kara dari Kanada, udang galah, sotong, ikan salmon, talapia dan bawal. Hidangan popular adalah ‘mix meat’, gabungan daging kambing, daging, itik dan ayam.

Hidangan salai juga mendapat tempahan dari luar Selangor. Mereka ada lebih 20 ejen di seluruh negara untuk memasarkan hidangan salai sejuk beku. Pelanggan hanya perlu memanaskan bahan itu sebelum menikmatinya.

Mengusahakan restoran dalam sungai tentunya berbeza dengan restoran biasa. Kerusi meja cepat reput kerana berendam dalam air sepanjang masa dan perlu ditukar beberapa kali dalam setahun.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, Zainuddin menanggung kerugian hampir RM100,000 dan terpaksa menggunakan wang simpanan serta hasil jualan dalam talian bagi membayar gaji 20 pekerja. Namun, beliau lega berikutan sambutan terus rancak selepas tempoh PKP berakhir.


Pengarang :