AGENDAEKONOMINASIONAL

RedBeat Academy AirAsia tawar program latihan, tingkat kemahiran

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Selepas berjaya melakukan transformasi sebagai syarikat gaya hidup digital, Kumpulan AirAsia kini merancang untuk memperluaskan pengetahuannya kepada masyarakat melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran yang dapat membantu meningkatkan kumpulan tenaga kerja negara.

Program itu, yang diperkenalkan oleh RedBeat Academy dan pada masa ini hanya untuk kakitangan dalaman AirAsia, akan membantu melengkapi pekerja dengan kemahiran digital baharu dan menjadi tenaga kerja bertaraf dunia.

RedBeat Academy adalah kerjasama antara cabang perusahaan korporat Kumpulan AirAsia, RedBeat Ventures Sdn Bhd (RBV) dan Google.

Presiden RBV Aireen Omar berkata normal baharu berikutan pandemik Covid-19 mendorong semua pihak untuk memulakan pendigitalan, iaitu pekerja yang kekurangan kemahiran teknologi mendapati sukar untuk menyesuaikan diri dengan era digital dan akhirnya ketinggalan.

Beliau berkata RedBeat Academy menyediakan kokurikulum bertaraf dunia untuk mengajar tenaga kerja yang bukan teknologi mengenai apa yang diperlukan untuk bertahan dalam ekonomi digital selain menggalakkan mereka untuk menjadi inovatif.

“Kami tidak boleh menjadi satu-satunya syarikat di Malaysia yang celik digital, kerana jika anda mahu ekonomi berkembang dalam persekitaran digital, setiap penggiat ekonomi juga perlu seperti itu, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Tenaga kerja tidak bermakna anda perlu mendapatkannya hanya dari luar syarikat, tetapi sumber semasa anda boleh dibentuk semula dan dilatih semula, dan kami adalah contoh yang baik tentang bagaimana (transformasi) dapat dilakukan.

“Kandungan kami di RedBeat Academy akan sentiasa relevan, melihat ke arah masa depan mengenai (jenis) teknologi, untuk membantu orang ramai mendapat inspirasi, selain memikirkan cara baharu dan melakukan inovasi,” katanya kepada Bernama.

Aireen berkata program latihan semula dan meningkatkan kemahiran boleh didapati tidak lama lagi untuk individu dan usahawan, tanpa mengambil kira latar belakang mereka, dan turut terbuka kepada syarikat yang mahu mendigitalkan syarikat mereka seperti yang dilakukan oleh AirAsia.

Selain kursus itu, PKS akan turut diberikan penyelesaian yang menyeluruh, iaitu mereka akan mendapat peluang untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di platform digital AirAsia dan Ourshop.

Mengenai masa depan, beliau berkata Redbeat Ventures merangka beberapa pelan besar untuk RedBeat Academy memacu selain memberikan pengetahuan digital.

Beliau menyasarkan RedBeat Academy menjadi syarikat teknologi pendidikan menarik pada masa depan, menawarkan kursus meliputi lebih daripada hanya subjek teknologi seperti kepimpinan, penjenamaan dan kemahiran kreatif.

“Sudah tentu, kami perlu bekerjasama dengan universiti tertentu, supaya RedBeat Academy boleh mendapat kelayakan dan akreditasi dalam subjek tertentu.

“Terdapat banyak perkara dilakukan oleh AirAsia, kami mempunyai kekuatan tertentu. Oleh itu, mengapa tidak kami berkongsinya dengan orang lain dan membantu mereka dilatih,” katanya.

Kumpulan AirAsia merupakan syarikat penerbangan yang terbesar di Malaysia dari segi saiz kumpulan pesawat dan destinasi. Syarikat penerbangan itu dinobatkan sebagai Digital Transformer of the Year untuk Malaysia di International Data Corporation Digital Transformation Awards (DXa) 2019.

Redbeat Academy melancarkan program khusus iaitu BINA Digital. Program ini menawarkan kursus dalam talian bagi PKS memulakan, membina dan mengembangkan perniagaan mereka dalam talian, serta meningkatkan keupayaan mereka untuk mengekalkan pengembangan dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

PKS yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut mengenai program itu melalui laman web Redbeat Academy di redbeatacademy.com.

-BERNAMA


Pengarang :