Penghantar barangan dalam talian aplikasi “Seldec Rider” mengangkat beg barangan mereka selepas selesai sesi sidang media Pelancaran Web Portal SELDEC (Selangor Digital e-Supply Chain) & Sistem Aplikasi “Seldec Rider” di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RiDE: Sambutan luar jangka, borang dimuat turun 15,000 kali

SHAH ALAM, 29 OGOS: Borang permohonan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dimuat turun sebanyak 15,000 kali setakat semalam, kata Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata jumlah tersebut di luar jangkaan dan pemilihan peserta dibuat berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ bagi mengisi 3,000 kuota ditetapkan.

“Walaupun 15,000 borang dimuat turun, tetapi kita baru menerima lebih 300 borang permohonan dan kita jangkakan lebih banyak borang permohonan dihantar pada minggu depan.

“Pemohon perlu mendapatkan pengesahan pemastautin tetap melebihi 10 tahun di Selangor menerusi pejabat wakil rakyat kawasan masing-masing dan menghantar sendiri ke pejabat MSN negeri,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata syarat lain ialah pemohon mesti berumur 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan di bawah RM2,000 bagi yang bekerja serta memperoleh lesen motosikal B2 bermula Januari tahun ini.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal berjumlah RM350, selain boleh mengikuti kursus e-panggilan bernilai RM200 dan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial berjumlah RM70 setahun.

Mereka yang berminat boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.


Pengarang :