AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.1750/1810 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan kenaikan walaupun harga minyak mentah meningkat semula.

Pada pukul 9.05 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1750/1810 berbanding unit negara maju itu daripada 4.1700/1750 ketika ditutup pada Rabu.

Pasaran ditutup semalam susulan cuti umum sempena sambutan Awal Muharam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata walaupun dolar AS agak lebih kukuh, namun ringgit terus diniagakan baik memandangkan langkah Malaysia dalam menangani pandemik Covid-19 adalah mengagumkan.

Beliau berkata ia menunjukkan pemulihan serta pembukaan semula ekonomi ini sedang berada di landasan yang baik.

“Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai ruang mencukupi untuk alat dasarnya bagi menurunkan lagi kadar faedah, yang ia jangka mendorong kerancakan semula pada tepat masanya bagi pemulihan dan pembukaan.

“Selama ini, Sekuriti Kerajaan Malaysia tetap menjadi tumpuan utama pelabur yang mencari hasil lebih-lebih lagi sehingga harga minyak mentah kekal stabil dengan merekodkan paras kukuh baru-baru ini, yang secara umumnya berperanan sebagai mekanisme penstabilan yang baik bagi ringgit,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah Brent kini meningkat 0.16 peratus kepada AS$44.97 setong.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0545/0601 daripada 3.0572/0620 pada Rabu dan tinggi berbanding yen kepada 3.9491/9555 daripada 3.9575/9634.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.9566/9654 daripada 4.9679/9841 pada Rabu namun turun berbanding pound Britain kepada 5.5214/5310 daripada 5.5173/5248.

– BERNAMA


Pengarang :