AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1850/1900 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Ringgit melantun berbanding dolar AS untuk dibuka tinggi pagi ini selepas pelabur mengalihkan minat masing-masing ke arah aset yang lebih berisiko termasuk mata wang tempatan.

Ini berikutan tinjauan yang lebih suram ke atas mata wang selamat atau “safe haven (pelaburan yang dijangka akan lebih bernilai sewaktu berlaku masalah dalam pasaran).

Pada jam 9.35 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.1850/1900 daripada 4.1910/1950 ketika ditutup pada Jumaat.

Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Research menjangkakan unit tempatan akan berhadapan dengan satu lagi minggu jualan besar-besaran sekiranya muncul petunjuk yang lebih menyebelahi dolar terutamanya berkaitan dengan penangguhan perundingan perdagangan China-AS dan perbahasan mengenai pakej rangsangan AS.

“Bagaimanapun, aliran menurun ringgit mungkin sebahagiannya akan dihadkan oleh data penjualan runcit dan pengeluaran perindustrian AS yang kurang menggalakkan,” katanya.

Unit tempatan merosot minggu lepas selepas bergerak rancak selama tujuh minggu berbanding dolar AS selepas pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2020 yang diumumkan Jumaat lepas mencatatkan penguncupan dua digit 17.1 peratus.

Walaupun harga minyak stabil dan keyakinan terhadapa perkembangan vaksin untuk Covid-19, Kenanga berkata kelemahan ringgit berbanding dolar AS adalah disebabkan peningkatan dalam perolehan bon AS dan data China yang lesu.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit lemah berbanding dolar AS kepada 3.0541/0588 daripada 3.0518/0554 dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.9288/9339 daripada 3.9260/9308 minggu lepas.

Ringgit susut sedikit berbanding pound Britain kepada 5.4798/4868 daripada 5.4785/4854 pada Jumaat dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.9567/9643 daripada 4.9416/9472 sebelumnya.

–BERNAMA


Pengarang :