Lampu Solar di Kampung Orang Asli Jambu, Dengkil pada 27 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RM300,000 diperuntuk pasang 90 lampu solar perkampungan Orang Asli

SEPANG, 27 OGOS: Sejumlah RM300,000 diperuntukkan bagi memasang 90 lampu solar di perkampungan Orang Asli, kata EXCO teknologi hijau.

Hee Loy Sian berkata pemasangan secara berperingkat dilakukan sejak tahun lalu bermula di Gombak dan dibuat mengikut permintaan penduduk.

“Hari ini kita pasang 30 lampu solar di lima kampung, tiga membabitkan penempatan Orang Asli di Dengkil manakala dua lagi di Pulau Carey, Kuala Langat.

“Dengan pemasangan ini, kampung mereka akan jadi terang dan ceria. Usaha akan diteruskan pada masa depan kerana kita mahu mereka mendapat hak dan tidak rasa terpinggir,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pemasangan Lampu Solar di Kampung Orang Asli Jambu, dekat sini hari ini.

Hee Loy Sian pada Majlis Perasmian Kemudahan Lampu Solar Di Kampung Orang Asli Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Jambu, Dengkil pada 27 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Loy Sian, kampung yang dipasang lampu solar itu sudah mempunyai bekalan elektrik namun terdapat lampu jalan tidak berfungsi.

“Jadi kita pasang lampu solar di jalan utama untuk mudahkan penduduk,” katanya.

Belanjawan 2020 memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan modal insan dan kebajikan Orang Asli seperti baik pulih rumah, pembangunan infrastruktur, peningkatan kesihatan dan ekonomi.


Pengarang :