Pemain boling elit negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman beraksi semasa sesi latihan di Sunway Mega Lanes pada 28 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Saingan dalaman uji prestasi skuad boling negara

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Menghabiskan masa setahun tanpa sebarang kejohanan dan matlamat boleh mematahkan semangat atlet, justeru Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menyediakan saingan dalaman secara bulanan untuk pemain boling negara dengan ujian pertama seawal minggu depan.

Langkah itu diambil selepas kesemua kejohanan yang dijadualkan tahun ini termasuk Kejohanan Asia dan Terbuka Malaysia dibatalkan susulan penularan Covid-19.

Saingan dalaman itu juga akan menyaksikan penyertaan skuad penuh negara selepas bekas juara dunia Syaidatul Afifah Badrul Hamidi kembali menjalani latihan setelah dijangkiti pneumonia bulan lepas.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata saingan dalaman itu akan menyaksikan atlet elit dan pelapis bersaing membuktikan keupayaan masing-masing memandangkan kali terakhir mereka bersaing ialah pada Sukan Sea 2019, Disember lepas.

“Setahun tanpa kejohanan merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dan tidak pernah kami hadapi sebelum ini. Bagi memastikan atlet kekal berdaya saing dan bersemangat, kami perlu adakan kejohanan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya saingan dalaman itu juga adalah usaha MTBC untuk merangsang minda pemain bagi menghadapi kejohanan pada masa akan datang.

Selain itu, MTBC juga berharap dapat menganjurkan kejohanan kebangsaan pada penghujung tahun ini, namun perkara tersebut bergantung pada kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara dan prosedur operasi standard yang harus dipatuhi seperti dari segi penjarakan fizikal dan penonton, katanya.

Sementara itu, Maradona berkata MTBC akan memanfaatkan bantuan berjumlah RM30,000 yang diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan di bawah Inisiatif Prihatin Sukan 2020 untuk membeli sistem pelbagai kamera bagi menganalisis atlet dan juga penstriman langsung.

Menerusi sistem itu, jurulatih berupaya membimbing atlet dan mengesan kesilapan secara serta-merta ketika latihan dan kejohanan termasuk di kejohanan luar negara.

“Ini merupakan sistem mudah alih dan kita boleh sediakan di mana-mana venue, namun kualiti penstriman langsung bergantung pada liputan Internet. Bantuan ini tiba tepat pada masanya kerana masalah kewangan menghalang kami mendapatkan sistem ini.

“Sebelum ini, menerusi siaran langsung Facebook, kami hanya dapat siarkan dari satu sudut sahaja, namun dengan sistem baharu ini kami dapat strim langsung perlawanan dari pelbagai sudut selain memaparkan skor,” jelasnya.

-BERNAMA


Pengarang :