Selangorkini
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Saksi Merdeka

RIBUAN orang berhimpun di Padang Kelab Selangor. Suasana sesak. Hingar. Masing-masing mahu menyaksikan sendiri bendera Union Jack, simbol penjajahan kuasa Inggeris di Tanah Melayu, jatuh perlahan-lahan.

Datuk A Samad Said, waktu itu berusia 25 tahun, turut ada di celah-celah himpitan rakyat penghujung malam 30 Ogos 1957. Sebagai penggiat sastera dengan kesedaran politik, semangatnya bernyala-nyala untuk meraikan detik ini seperti telah terzahir dalam banyak karyanya.

“Kemerdekaan selalu menggetarkan qalbu saya. Saya berasa bermaruah dan dihargai. Saya berasa sangat bernilai sebagai seorang rakyat,” kata Sasterawan Negara itu, yang membahasa dirinya bapak dan selesa dipanggil Pak Samad.

Puisi-puisinya sebelum detik itu turut menyerlahkan semangatnya yang meluap-luap. Dalam sajak berjudul ‘Pada Tanah yang Indah’ (Disember 1956), beliau mengungkapkan: Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh/ beri janji yang teguh hingga badanku luluh.

Beliau “menjeritkan kemerdekaan” bukan sahaja melalui puisi, seperti dibukukan dalam “Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957”. Anak Melaka itu, yang lama bergiat di Singapura, turut menghasilkan cerpen dan novel yang memperihalkan penderitaan rakyat tanpa kemerdekaan, antaranya, ‘Sungai Mengalir Lesu’ dan ‘Di Hadapan Pulau’ serta ‘Adik Datang’.

Bagi Pak Samad, kemerdekaan menganugerahkannya hak untuk mengisytiharkan kemerdekaan diri yang sangat berharga dan mulia sifatnya. Beliau banyak menulis perihal tanah air dan kemerdekaan kerana percaya hanya dengan kemerdekaan rakyat “tidak lagi kekal sebagai hamba penjajah”.

“Itulah sebabnya lahir puisi ‘Titisan Darah di Tanah Indah’, ‘Pertama dan Terakhir’ serta ‘Pada Tanah yang Indah’. Kesemuanya merakam sejarah tanah air menjelang kemerdekaan,” katanya kepada SelangorKini dalam wawancara bertulis.

Bebas meronta

“Puisi lahir seikhlasnya. Ia rakaman kasih sayang saya terhadap tanah air. Ia mewangikan kehidupan saya sebagai rakyat yang pernah terjajah sehingga tahun 1957.”

Biarpun kini berusia 88 tahun, nostalgia itu mekar dalam ingatannya. Betapa detik itu penting untuk disaksikan, untuk diingati seumur hidup. Lebih-lebih lagi buat jiwa yang dilingkari dunia persuratkhabaran, politik dan kesusasteraaan.

Sasterawan, sebagaimana bentuk perjuangan orang politik dan wartawan, turut lantang menuntut perubahan rakyat bawah. Melalui konsep ‘seni untuk masyarakat’ yang dipelopori Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), Pak Samad sebagai ahlinya turut memainkan peranan sebagai “saksi kemerdekaan”.

Malah gejolak rasa mahu bebas yang meronta-ronta itu memang asas utama kebangkitan rasa kebangsaan sejak awal abad ke-20 lagi. Setelah pendidikan perlahan-lahan merebak di kalangan anak muda, akhbar-akhbar Melayu yang dipelopori pejuang bangsa mula membakar semangat kemerdekaan.

Antara September 1956 hingga April 1957, Pak Samad menghasilkan empat sajak bertema kemerdekaan. Bersama puluhan penyair lain, karyanya dihimpun buku tebal terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1987. Penyusun buku itu Abdul Latiff Abu Bakar merakamkan 420 sajak, termasuk karya Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant), Harun Amirurrasyid, Ibrahim Yaakob (IBHY), Zainon Munshi Sulaiman (Ibu Zain), Zulkifli Muhammad dan Masuri MN.

Pun begitu, menjengah kembali sambutan kemerdekaan saban tahun hingga usianya kian renta, Pak Samad mengesan lunturnya semangat sejati saat meraikan kemerdekaan. Makna tidak lagi dihayati, hanya riak gembira mengiringi.

Tulus jujur

Hanya sambutan pada saat awal yang menggentarkan jiwanya. “Yang paling manis dan mengharukan ialah sambutan pertama kemerdekaan yang lebih tulus dan jujur.

“Yang selepas itu sudah dicemari dengan suara kelompok yang melompat ke perahu kemerdekaan. Ada yang tidak peduli kemerdekaan tiba-tiba menjerit sebagai juara utama kemerdekaan,” katanya. “Yang pertama sangat tulus dan tulen.”

Dikenali juga sebagai pemimpin Bersih 2.0 dan penentang dasar bahasa Inggeris untuk pendidikan Matematik dan Sains, Pak Samad yang beraliran Parti Rakyat di celah-celah pertarungan politik ideologi tentunya tidak puas dengan penghayatan saat ini.

“Tentu sahaja ramai yang berjuang (kemerdekaan) secara bercampur-campur. Tapi, seperti biasa yang muncul jaguh adalah mereka yang bersandarkan pada parti politik,” katanya.

Bagaimana rumitnya simpang perenang arus masa mengisi makna kemerdekaan, Pak Samad bersama generasi penulis dan budayawan sezamannya telah melaungkan jeritan itu. Mereka hadir sebagai saksi rasa jiwa bebas itu.

“Sastera menjadi kesaksian kemerdekaan. Sastera sentiasa akan ada, makanya rasa bermaruah menjadi sangat bernilai. Kita merdeka, tidak lagi kekal sebagai hamba kolonial.”


Pengarang :