Seramai 33 anak pegawai kedutaan Malaysia di Bangkok memeriahkan sambutan kemerdekaan di Bangkok, Thailand pada 30 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sambutan Hari Kebangsaan meriah di Bangkok

BANGKOK, 31 OGOS: Biarpun berada jauh dari tanah air, sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini tetap meriah dalam keadaan norma baharu buat rakyat Malaysia yang berada di ibu negara Thailand.

Dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dikuatkuasakan kerajaan Thailand susulan pandemik Covid-19, kira-kira 100 rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di sekitar Bangkok, hadir di Kedutaan Besar Malaysia, bagi menyemarakkan sambutan hari bersejarah itu dengan penuh semangat patriotik.

Majlis bermula dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan semua hadirin diketuai Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.

Jojie berkata walaupun berdepan pandemik Covid-19, ia tidak melunturkan semangat rakyat Malaysia memperingati detik penting dan istimewa negara.

“Hari ini bukan sahaja melambangkan sejarah pembentukan Malaysia berdaulat dan bebas merdeka, ia juga melambangkan kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dalam membina sebuah negara maju, aman dan makmur sepanjang 63 tahun negara kita merdeka,” katanya.

Jojie berkata kedutaan menganjurkan beberapa program bersempena Hari Kebangsaan dalam skala kecil yang hanya melibatkan warga kerja, ahli keluarga dan segelintir rakyat Malaysia yang berada di Bangkok.

Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-63 itu juga mengukuhkan hubungan diplomatik dua hala di antara Malaysia dan Thailand.

Hadir sama pada majlis sambutan Hari Kebangsaan itu ialah Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) Dr Hwee Khim Boo dan Presiden Kelab Malaysia Thailand Datuk Bobby Tai.

-BERNAMA


Pengarang :