Program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh serta taklimat memudahkan permohonan permit berlangsung di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sambutan luar jangka, lebih 200 penjaja Sungai Buloh mohon permit

SHAH ALAM, 15 OGOS: Lebih 200 peniaga dan penjaja kecil tidak berlesen sekitar Sungai Buloh hadir program penyusunan semula kumpulan itu di Dewan Meranti, Jalan 1D, di sini hari ini.

Program tersebut asalnya terbuka kepada 80 peniaga Seksyen U20 Bandar Baru Sungai Buloh sahaja, namun ia menerima sambutan menggalakkan apabila orang ramai tiba seawal jam 8 pagi.

Mereka turut menjalani pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka sebelum dibenarkan masuk ke dewan.

Program tersebut menampilkan empat wakil melibatkan Jabatan Pelesenan (cara permohonan permit penjaja sementara), Jabatan Bangunan (tatacara permohonan permit binaan bumbung sengkuap), Jabatan Perancangan dan Kebersihan (kebenaran merancang binaan tambahan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran (keselamatan makanan).

Sesi penerangan hampir sejam berlangsung dalam suasana tenang.

Selesai sesi taklimat, peniaga kemudian membuat permohonan lesen menerusi kaunter yang disediakan.

Program bermula jam 8 pagi hingga 4 petang pada Sabtu manakala Ahad sehingga 12 tengah hari.

Pada 12 Ogos, MBSA menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

MBSA juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin pihak berkuasa tempatan berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.


Pengarang :