Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berangkat pulang selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2020 bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ di Dewan Serbaguna Dataran Pahlawan Negara pada 31 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sambutan normal baharu Hari Kebangsaan 2020 pasti diingati

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan 2020 pasti kekal di ingatan rakyat Malaysia kerana buat pertama kalinya ia diraikan dalam suasana normal baharu seiring keadaan negara yang masih ‘berperang’ menentang Covid-19.

Pun begitu, keadaan tersebut yang membataskan kehadiran orang ramai ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan tidak mematahkan semangat patriotik rakyat untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap negara dengan cara tersendiri termasuk berkongsi momen dan ucapan di media sosial.

Menggunakan tanda pagar #malaysiaprihatin dan #momennegaraku, kebanyakan rakyat turut berkongsi gambar mengibarkan Jalur Gemilang serta menzahirkan harapan agar Malaysia terus sejahtera.

Buat julung kalinya, Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ dan terhad kepada dif kehormat, anggota keselamatan dan petugas bagi memastikan majlis berjalan mengikut tatacara operasi piawai.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan Negara pagi ini dan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri Datin Norlin Shamsul Bahri.

Usai nyanyian ‘Negaraku’, Seri Paduka berdua berangkat ke Dewan Serbaguna Dataran Pahlawan Negara dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Titah Diraja bersempena Hari Kebangsaan 2020 yang merupakan tumpuan utama sambutan tahun ini.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban.

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung secara tertutup itu, kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-‘Abidin. Majlis turut dihadiri kira-kira 250 orang terdiri daripada barisan Exco kerajaan negeri, wakil pelbagai agensi kerajaan dan wakil petugas barisan hadapan.

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri di Stadium Tertutup SUKPA di Indera Mahkota.

Turut berangkat pada sambutan yang berlangsung dalam kebiasaan baharu itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan pentadbiran negeri.

– BERNAMA


Pengarang :