Pemain sayap skuad kebangsaan Muhammad Safawi Rasid layak beraksi di pentas liga utama Eropah berdasarkan pengalaman dan kemahiran. Foto: Facebook Sapawi Rasid
AGENDASUKANKINI

Sapawi sudah sedia, layak beraksi di Eropah – Kim Swee

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Pemain sayap skuad kebangsaan dan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid, layak beraksi di pentas liga utama Eropah, kata bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee berkata, pemain yang dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu, memiliki standard serta kemampuan mengembangkan bakatnya ke peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, pengalaman luas Muhammad Safawi di pentas antarabangsa serta kemahiran individu yang dimilikinya, akan membantu beliau mengharungi segala cabaran dan tekanan dalam bersaing mencipta nama tersendiri di Eropah.

“Sebelum ini lagi beliau dikaitkan dengan beberapa tawaran dari luar negara dan sememangnya beliau layak menerimanya, dengan pengalaman luas bersama JDT dan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa, beliau telah bersedia untuk cabaran baharu.

“Beliau memiliki kemampuan untuk bersaing dengan sesiapa sahaja kerana keyakinan yang ada pada beliau, selain sikap tidak cepat berputus asa. Teknik dan kemampuan fizikal beliau pula kita tahu antara yang terbaik di Asia, jadi soal mampu atau tidak itu bukan lagi persoalannya,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Sukan JDT Martin Prest, semalam mengesahkan skuad Harimau Selatan itu menerima tawaran rasmi untuk Muhammad Safawi, daripada kelab liga utama Portugal, Portimonense SC dan bersedia melepaskan anak jati Dungun berusia 23 tahun.

Muhammad Safawi melakar rekod cemerlang bersama JDT pada musim 2019, apabila meledak 20 gol dan merekodkan 10 ‘assist’ sepanjang 3,088 minit permainan, melibatkan 37 penampilan.

Mengulas lanjut, Kim Swee yang kini menjawat jawatan Ketua Unit Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, perubahan budaya dan persekitaran tidak akan menjadi penghalang buat Muhammad Safawi di sana.

“Setiap pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu dan sudah pasti terdapat perbezaan yang ketara dari segi budaya antara negara kita dan di Eropah, tetapi dengan pengalaman dan keyakinan yang ada, ia bukan satu masalah bagi beliau.

“Saya percaya JDT juga akan memastikan hanya yang terbaik buat Muhammad Safawi, selepas mereka telah bertanggungjawab membentuk beliau sehingga menjadi antara pemain paling berpotensi di negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee menyifatkan tawaran diterima Muhammad Safawi itu, membuktikan bakat tempatan kini mula mendapat perhatian dunia dan berharap ia sebagai pembuka jalan kepada lebih ramai pemain muda negara, beraksi di luar.

Sejak menyertai JDT dari pasukan T-Team pada Disember 2016, Muhammad Safawi menjulang tiga kejuaraan Liga Super, dua kejuaraan Piala Malaysia dan memenangi satu kejuaraan Piala FA.

Di pentas antarabangsa, Muhammad Safawi merupakan pemain utama skuad Harimau Malaya, yang kini dalam misi menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Beliau pernah meledak dua gol untuk membantu Malaysia melakar kemenangan pertama dalam tempoh 44 tahun ke atas Korea Selatan, selepas menewaskan pasukan itu 2-1 pada aksi kumpulan acara bola sepak di temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

-BERNAMA


Pengarang :