EXCO Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau (belakang, tiga, kanan) bersama ketua-ketua kampung selepas Majlis Perasmian Program Pemberian Barangan Perlindungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat golongan B40 daerah Hulu Langat di Dewan Masyarakat Kampung Bahagia di sini pada 25 Ogos 2020.
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sasar lima kali ganda penerima bantuan barangan kesihatan, makanan sihat

SHAH ALAM, 31 OGOS: EXCO Kerajaan Prihatin berhasrat teruskan program bantuan barangan perlindungan kesihatan dan makanan berkhasiat tahun depan dengan sasaran lima kali ganda penerima.

V Ganabatirau berkata setakat ini program itu memberi manfaat kepada 5,700 individu daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Selangor.

“Kita (Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin) sebenarnya merancang pelaksanaannya tahun ini sahaja kerana ada peruntukan daripada program lain yang tidak dapat diadakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi, semasa saya turun padang mengagihkan bantuan ini kepada penghulu dari semua mukim seluruh negeri ini, mereka (penghulu) gembira dan menyambut baik inisiatif tersebut, malah berharap peruntukan ditambah kepada 500 pek bagi setiap mukim,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata program tersebut diharap memenuhi permintaan golongan terlibat termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), wanita hamil dan anak yatim untuk memperoleh barangan penjagaan kesihatan serta makanan seimbang.

Terdahulu, sebanyak RM347,700 disalurkan menerusi penghulu dari 57 mukim seluruh Selangor bagi pengagihan bantuan merangkumi pelitup muka, cecair pembasmi kuman, Milo, beras, Nestum dan biskut berkhasiat.


Pengarang :