Penanaman padi wangi MRQ 88 di Sekinchan, Selangor. Foto Facebook Ng Suee Lim
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Sekinchan perintis tanaman padi wangi MRQ 88

SHAH ALAM, 19 OGOS: Sekinchan dipilih sebagai pusat pengeluaran padi wangi jenis MRQ 88 kerana kesuburan tanah dan memiliki sistem pengairan moden, kata wakil rakyatnya.

Ng Suee Lim berkata baka padi baharu bakal menambah pendapatan pesawah kerana harga di pasaran lebih tinggi berbanding beras biasa malah kualiti setaraf beras wangi import.

“Sekinchan sejak dahulu dikenali sebagai pusat pengeluaran padi berkualiti di Malaysia dan projek perintis tanaman padi wangi merupakan satu lagi kejayaan kepada petani daerah ini.

“Walaupun terdapat kekangan dan risiko penanaman padi wangi tetapi usaha ini akan membuahkan hasil jika petani mempraktikkan amalan pertanian moden sekali gus mengurangkan import dari negara luar,” katanya dalam temu bual bersama Media Selangor.

Benih padi wangi yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mengambil tempoh tuaian hasil lebih lama sekitar 125 hari berbanding 110 hari untuk padi biasa.

Mula dibangunkan pada 2003 menggunakan induk popular daripada Filipina iaitu IR 841 dan MRQ 74, padi wangi 88 merupakan hasil penyelidikan ke-45 Mardi dalam penghasilan beras baharu bagi mengukuhkan industri beras wangi negara.


Pengarang :