AGENDANASIONALPELANCONGAN

Sektor pelancongan perlu pekerja mahir komunikasi, digital

PUTRAJAYA, 12 OGOS: Permintaan bagi kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi dan digital akan membawa kepada pewujudan pekerjaan baharu merentasi semua subsektor pelancongan di Malaysia, demikian menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata ia merupakan dapatan daripada Kajian Environmental Scan for The Tourism Sector in Malaysia oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) yang digunakan sebagai sebahagian ‘sistem makluman awal’ bagi mengenal pasti trend industri baharu yang muncul dalam sektor pelancongan.

“Pengalaman dan permintaan daripada pelancong yang merupakan pelanggan dalam industri pelancongan telah berubah seiring dengan kemajuan teknologi.

“Justeru, tuntutan pelanggan juga semakin meningkat dan pengusaha memerlukan pekerja mahir teknologi yang berupaya memberi respons kepada permintaan pelanggan yang celik teknologi,” katanya.

Berucap pada perasmian Persidangan Mengenai Masa Depan Pekerjaan Bagi Sektor Pelancongan di Malaysia (Pasca-Covid-19) di sini hari ini, beliau berkata teknologi automasi dan digital baharu telah mengubah sifat sebenar pelbagai jenis pekerjaan dalam sektor pelancongan.

Mohd Uzir berkata sebagai contoh, Internet benda (IoT) kini diguna pakai untuk menjadikan pekerjaan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti lebih mudah.

“Kesannya perubahan teknologi mengurangkan keperluan kerja yang melibatkan mekanisasi rutin serta meningkatkan permintaan untuk kerja teknikal dan analitikal yang berkemahiran tinggi.

“Ini turut meningkatkan permintaan untuk kemahiran kognitif, sosial dan emosi bagi menyelesaikan masalah kompleks di samping keperluan untuk bekerja secara berpasukan serta interaksi sesama manusia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :