PENDAPATRENCANA

Sektor pertanian lebih berdaya tahan ketika krisis

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Mungkin sudah tiba masanya untuk sektor pertanian mendapat pengiktirafan yang diperlukan sebagai sektor penting dalam mempertahankan ekonomi negara tanpa mengira krisis.

Semalam diumumkan bahawa ekonomi Malaysia menguncup kepada 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini dengan penurunan dilihat dalam semua sektor, kecuali pertanian.

Sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan kuari serta pembinaan, masing-masing susut 16.2 peratus, 18.3 peratus, 20 peratus dan 44.5 peratus, pada suku tahun tersebut.

“Sektor pertanian, bagaimanapun, menyaksikan pertumbuhan sebanyak satu peratus,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada sidang media semalam.

Sektor itu sekali lagi membuktikan bahawa ia lebih berdaya tahan ketika krisis dan Malaysia dapat memanfaatkannya dengan menambah baik modul perniagaannya, meningkatkan penggunaan teknologi dan beralih kepada pertanian moden.

Semasa sekatan pergerakan, permintaan melonjak dan mereka yang terlibat dalam sektor itu meningkatkan pengeluaran, terutamanya sektor kelapa sawit, getah atau malah, produk makanan halal.

Malaysia mempunyai apa yang diperlukan — terutamanya apabila ekonomi negara dibina daripadanya.

“Sebelum ini, kita adalah negara pertanian, kemudian kita beralih kepada sektor lain. Kini, terdapat peluang untuk meneliti semula bidang pertumbuhan ini berikutan kita telah mempunyai asas,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus semalam.

“Kita hanya perlu mendapatkan sokongan. Kita bersedia untuk meraih manfaat daripada kekuatan ini.”

Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pertumbuhan positif sektor pertanian disokong oleh peningkatan subsektor kelapa sawit, yang menyaksikan peningkatan semula sebanyak 7.5 peratus, disokong oleh pengeluaran minyak sawit mentah dan tandan buah segar yang lebih tinggi.

Mengenai masa depan, Nor Shamsiah berkata lebih banyak permintaan untuk produk hiliran, termasuk gelatin halal dan makanan organik berikutan ramai orang lebih berhati-hati mengenai produk makanan yang mereka makan dan mereka lebih mementingkan kesihatan.

Beliau juga berkata kebergantungan kepada kepada pekerja asing akan berkurangan berikutan permintaan adalah untuk pertanian moden.

“Kita tidak lagi berbincang mengenai pertanian ladang tetapi kita berbincang mengenai rumah hijau, dan semuanya akan automatik. Ini adalah bidang pertumbuhan baharu yang perlu kita beri tumpuan,” katanya.

Sektor Agromakanan Perlu Diberi Perhatian

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan sektor agromakanan wajar untuk diceburi semula dan dijangkakan akan turut meningkat kembali.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata Malaysia sejak sekian lamanya merupakan pengimport bersih makanan yang tidak membawa manfaat bagi ringgit serta harga domestik.

Usahawan muda ternakan lembu, Muhammad Aiman Muhammad Zaini bersama lembu kesayangannya iaitu jenis baka ‘chevrolet’ ketika ditemui di kadangnya di Kampung Putat, Jalan Kodiang. Aiman menceburi bidang ini lebih 15 tahun dan merupakan generasi ketiga selepas mengambil alih sepenuhnya perniagaan ini daripada ayahnya.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Tahap Kecukupan Diri bagi daging kambing, daging lembu, cili, kobis bulat, susu segar dan beras masing-masing pada 11.2 peratus, 23.9 peratus, 31.9 peratus, 38.7 peratus, 61.3 peratus dan 70.0 peratus setakat 2018.

“Ini jelas menunjukkan tahap kebergantungan kita terhadap makanan import yang sebegitu penting. Sedangkan, kita sudah biasa mendengar mereka yang tiada kerja telah pun menceburi bidang ini.

“Mungkin apa yang mereka perlukan adalah bantuan kerajaan — bukan saja dalam bentuk bantuan kewangan, tetapi juga kepakaran teknikal,” katanya.

Malah, Mohd Afzanizam berkata ini akan turut membantu dari segi kemudahan peralihan untuk mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Sektor terbabit juga perlu dijenamakan semula dan diperkasakan dengan pendekatan baharu, khususnya dalam konteks Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang mana penggunaan teknologi dapat memacu pengeluaran tanaman secara cekap.

Defisit Perdagangan Agromakanan Tinggi

Defisit perdagangan bagi agromakanan adalah RM17.4 bilion pada tahun lepas berbanding daripada RM1 bilion pada 1995.

Jika dilihat pada era 1960-an dan 1970-an, Malaysia pernah banyak bergantung kepada sektor pertanian.

Sektor itu menyumbang 45.38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang didahului oleh minyak sawit, getah, lada dan koko yang turut menjadi sumber pekerjaan khususnya di kawasan pedalaman.

Selain membantu memacu penggunaan domestik, sektor berkenaan turut menjana pendapatan untuk kerajaan.

Namun, susulan evolusi negara saban tahun dan seiring dengan negara-negara membangun lain, Malaysia beransur-ansur mengurangkan kebergantungannya terhadap sektor pertanian dengan beralih kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Berikutan itu, pada 2018, sumbangan sektor pertanian susut kepada hanya 7.3 peratus (atau RM99.5 bilion) kepada KDNK.

-BERNAMA


Pengarang :