Pengunjung perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah atau MySejahtera sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

SELangkah kesan bekas pesakit Covid-19, bantu Kerajaan Negeri salur bantuan

SHAH ALAM, 26 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kini sedang membantu Kerajaan Selangor mengesan bekas pesakit Covid-19.

Pengesanan itu dilakukan apabila orang ramai mengimbas kod QR SELangkah sebelum memasuki premis atau bangunan kerajaan.

Tinjauan SelangorKini mendapati, pengguna perlu menjawab soalan ‘Kerajaan Negeri sedang menyampaikan bantuan bagi mangsa Covid-19. Adakah anda pernah disahkan positif Covid-19 bermula 1 Januari 2020?’.

Langkah berkenaan sekali gus membantu Kerajaan Selangor yang kini sedang mencari bekas pesakit wabak itu bagi membolehkan mereka menerima bantuan sebanyak RM1,000.

Pada 17 Ogos lalu, EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud menyeru supaya lebih ramai bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 di negeri ini memohon bantuan khas RM1,000.

Bantuan khusus itu boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com.

Sebelum ini, sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan kepada mangsa Covid-19 melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu mengikut beberapa syarat.

Antaranya warganegara yang bermaustautin di Selangor lebih lima tahun dan disahkan positif Covid-19 oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar.


Pengarang :