EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Negeri Selangor, Dato’ Teng Chang Khim berucap ketika Majlis Menandantangani Memorandum Persefahaman diantara NCT Group dengan Future Inno Park Sdn Bhd di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor bakal tumpuan pelabur asing sektor elektrik, elektronik

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kemudahan infrastruktur serta tenaga mahir yang mencukupi bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) berpotensi menarik lebih ramai pelabur asing ke Selangor, kata EXCO pelaburan.

“Kita dapati ramai pelabur dari sektor E&E mula angkat kaki serta menutup operasi mereka di China susulan perang dagang yang berlaku dengan Amerika Syarikat.

“Pelabur mula beralih arah dan memilih negara Asia yang lain termasuk Malaysia. Selangor yakin infrastruktur yang mencukupi termasuk persediaan tapak industri serta tenaga mahir dapat melonjakkan industri E&E di negeri ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Terdahulu, Chang Khim menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengasas NCT Group, Dato’ Yap Ngan Choy dengan Pengarah Future Inno Park, Dato’ Jeffrey Ng Chin Heng di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Negeri Selangor, Dato’ Teng Chang Khim (tiga dari kiri) selepas Majlis Menandantangani Memorandum Persefahaman diantara NCT Group dengan Future Inno Park Sdn Bhd di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menerusi persafahaman itu NCT Group dan Future Inno Park bersetuju membina Taman Industri Kuala Langat di atas tapak berkeluasan 199.51 hektar sebagai lokasi sektor pembuatan elektrik dan elektronik terbesar di Malaysia.

Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Pada 6 Ogos lalu, Jabatan Perangkaan menerusi Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 memaklumkan sektor pembuatan di Selangor mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus pada tahun tahun lalu.

Pertumbuhan itu dipengaruhi oleh prestasi pembuatan produk elektrik, elektronik dan optikal yang meningkat sebanyak tiga peratus.


Pengarang :