EXCO Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau menyerahkan kunci cura kepada Sazila Jamaludin yang menerima bantuan rumah baharu dari Kerajaan Negeri di Kampung Bahagia, Bangi pada 25 Ogos 2020.
EXCOSELANGOR

Selangor bina sembilan rumah baharu, baik pulih 15 bantu keluarga daif

BANGI, 25 OGOS: Kerajaan Negeri membina sembilan rumah baharu dan membaik pulih 15 lagi pada tahun ini bagi membantu keluarga kurang berkemampuan.

EXCO kerajaan prihatin berkata peruntukan RM1 juta disediakan setiap tahun bagi tujuan itu supaya golongan memerlukan memiliki kediaman lebih selesa dan selamat.

“Sebuah rumah bernilai RM50,000 dibina dengan berkeluasan 61.32 meter persegi manakala kerja baik pulih tidak lebih RM20,000 bagi setiap satu.

“Saya berharap kita mampu membina dan membaiki lebih banyak rumah untuk membantu keluarga daif menerusi peruntukan lebih besar pada masa depan,” kata V Ganabatirau kepada SelangorKini ketika menziarahi penerima rumah baharu, Sazila Jamaludin di Kampung Bahagia di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Kampung Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bahagia, Bangi, Nor Azlan Nordin dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat, Khairul Aizawati Khalid.

Penerima terbabit, Sazila, 46, melahirkan rasa syukur kerana Kerajaan Negeri prihatin membantunya dengan rumah tiga bilik yang amat selesa.

“Dahulu saya tinggal di rumah pusaka keluarga, rumah lama didiami sejak awal 70an, memang banyak rosak termasuk atap bocor. Apabila hujan air akan masuk menyebabkan barang rumah basah dan ada yang rosak.

“Sekarang saya, suami dan empat lagi anak yang masih bersekolah dapat tinggal dalam keadaan sangat selesa, terima kasih kepada semua,” katanya.


Pengarang :