Tiub ujian dengan label nama virus Corona dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENSISELANGOR

Selangor catat empat kes baharu Covid-19, satu penularan tempatan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sebanyak empat kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini menjadikan keseluruhan 2,138 kes, menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Tiga daripada kes baharu adalah warga asing yang mendapat jangkitan dari luar manakala baki penularan tempatan membabitkan saringan kemasukan kerja di mukim Cheras.

“Jadikan norma baharu sebagai rutin harian. Masukkan dalam perancangan dan daftar premis anda (rumah atau premis komersil) dengan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat),” tulisnya di Facebook.

Dalam perkongsian berasingan, pasukan itu memaklumkan Hulu Langat memasuki zon kuning susulan pertambahan satu kes aktif di mukim Cheras.

Sementara itu, mukim Bukit Raja di Petaling bertukar status kepada zon hijau apabila tiada kes aktif dikesan di kawasan terbabit, menjadikan jumlah kes aktif di Selangor setakat ini sebanyak empat kes.

Hari ini Malaysia merekodkan 11 kes baharu Covid-19 membabitkan enam penularan tempatan dan lima jangkitan import.


Pengarang :