BERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat KDNK per kapita tinggi, lepasi paras nasional

SHAH ALAM, 12 OGOS: Selangor mencatat nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita tinggi berjumlah RM54,807 tahun lalu, melebihi paras ditetapkan nasional.

Dato’ Menteri Besar berkata peningkatan membanggakan itu menunjukkan pengeluaran hasil negeri kukuh dan seimbang seiring pertambahan populasi negeri ini.

“Ini petunjuk bahawa produktiviti warga Selangor sangat kritikal dan penting dalam melestarikan ekonomi Selangor.

“Berita ini menjadi kebanggaan kita, jangan lupa juga untuk sentiasa berusaha keras memajukan diri kita semua,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam hantaran Facebook hari ini.

Selangor mencatat RM54,807 nilai KDNK per kapita tahun lalu.

KDNK per kapita nasional tahun lalu ditetapkan pada kadar RM46,367. Lima negeri lain turut melepasi paras berkenaan iaitu Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (RM129,589), WP Labuan (RM77,800), Pulau Pinang (RM55,062), Sarawak (RM53,230) dan Melaka (RM49,052).

Pada 2018, Selangor mencatat RM51,539 nilai KDNK per kapita.

Sementara itu, Amirudin berkata faktor pertumbuhan ekonomi pesat menjadikan negeri ini penyumbang tertinggi KDNK negara tahun lalu dengan pencapaian 24.2 peratus.

“Prestasi ekonomi negeri yang berimpak tinggi dan mapan pada tahun tersebut membuahkan hasil dan membentuk hasil pengeluaran negara yang berkualiti tinggi,” katanya.

Pada 6 Ogos lalu, Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 oleh Jabatan Perangkaan melaporkan Selangor menerajui pertumbuhan ekonomi pada 6.7 peratus, melebihi paras nasional pasa kadar 4.3 peratus.


Pengarang :