AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor catat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Tujuh negeri mencatatkan pertumbuhan ekonomi (KDNK) melepasi paras nasional sebanyak 4.3 peratus pada 2019, dengan Selangor menerajui pertumbuhan pada 6.7 peratus sementara Wilayah Persekutuan (WP) pada 6.0 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi penerbitan Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 mengenai data Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri yang dikeluarkan hari ini berkata selain daripada tiga negeri itu, Kelantan meningkat kepada 5.3 peratus, W.P Labuan (5.2 peratus) Negeri Sembilan (5.1 peratus), Kedah (4.6 peratus) dan Perlis (4.6 peratus).

Sementara itu, tujuh negeri merekodkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya, iaitu Kelantan 5.3 peratus (2018: 2.6 peratus), Negeri Sembilan 5.1 peratus (2018: 4.2 peratus), Kedah 4.6 peratus (2018: 4.0 peratus), Perlis 4.6 peratus (2018: 3.3 peratus), Pahang 3.7 peratus (2018: 3.0 peratus), Terengganu 3.3 peratus (2018: 2.5 peratus) dan Sarawak 2.5 peratus (2018: 2.2 peratus).

“Pemulihan prestasi sektor pertanian yang didorong oleh peningkatan pengeluaran bagi aktiviti kelapa sawit, getah dan tanaman sayuran serta pertumbuhan lebih baik bagi sektor perkhidmatan telah memberi kelebihan kepada momentum pertumbuhan di beberapa negeri yang berkaitan,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Laporan itu turut memuatkan maklumat berkenaan statistik siswazah, maklumat gaji dan upah dan; juga pendapatan serta perbelanjaan mengikut negeri di samping maklumat berkenaan indeks harga pengguna, kependudukan, tenaga buruh, pelancongan domestik dan statistik kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan.

“Menurut laporan itu, bilangan siswazah di Malaysia adalah seramai 5.3 juta orang pada tahun 2019, meningkat 6.9 peratus daripada 4.9 juta orang pada tahun 2018.

“Kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) adalah 83.5 peratus, menurun 0.1 mata peratus berbanding 83.6 peratus pada tahun 2018,” kata beliau.

Beliau menambah Selangor dan Sabah mencatatkan KPTBS tertinggi pada tahun 2019 dengan 86.5 peratus, diikuti W.P. Putrajaya 85.9 peratus dan Sarawak 85.3 peratus.

Sementara itu, KPTBS terendah dicatatkan oleh Perlis dengan kadar 76.1 peratus.

Berdasarkan kepada hasil Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, Mohd Uzir berkata W.P. Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM10,549 diikuti oleh W.P. Putrajaya (RM9,983), Selangor (RM8,210), W.P. Labuan (RM6,726), Johor (RM6,427), Pulau Pinang (RM6,169) dan Melaka (RM6,054).

“Bagi tempoh 2016 hingga 2019, W.P. Putrajaya mencatatkan peningkatan tertinggi purata pertumbuhan tahunan bagi pendapatan penengah iaitu 6.3 peratus, melebihi pertumbuhan penengah nasional (3.9 peratus),” kata beliau.

Sementara itu, penurunan bagi kadar pengangguran direkodkan oleh lapan negeri, antaranya ialah Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan W.P. Putrajaya.

Melaka merupakan negeri yang merekodkan kadar pengangguran terendah pada tahun 2019 dengan 1.1 peratus.

“Maklumat ekonomi dan sosial yang diintegrasikan ini akan memberi input yang bermanfaat kepada penggubal dasar negeri dan penyelidik untuk merangka pelan pembangunan dan hala tuju negeri masing-masing,” kata beliau.

-BERNAMA


Pengarang :