Mohd Khairuddin Othman ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Xtiv Virtual Youth Busking di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNEXCOSELANGOR

Selangor jamin bela peniaga tempatan di Sungai Buloh

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri akan membantu menyelesaikan isu peniaga tempatan di Sungai Buloh yang tidak mempunyai lesen dan membina struktur haram sebagai premis perniagaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyatakan kesediaan untuk membantu menyelesaikan isu tersebut selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

“Insya-Allah dalam tempoh sebulan MBSA akan bantu peniaga dengan syarat peniaga kena bantu pihak berkuasa dengan menyediakan dokumen lengkap berhubung perniagaan dijalankan.

“Malah mesyuarat EXCO hari ini turut memutuskan supaya MBSA membantu peniaga menerusi pelaksanaan program pemutihan, yang mana peniaga ada kesalahan sebelum ini kita putihkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Selangor Xtiv Virtual Youth Busking hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga EXCO pembangunan modal insan berkata Kerajaan Selangor sentiasa membela nasib peniaga kecil dan ia dibuktikan menerusi pelbagai bantuan disalurkan, terutama ketika berdepan pendemik Covid-19.

“Saya akan berbincang dengan MBSA kemungkinan mewujudkan kaunter bergerak Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di Sungai Buloh bagi membantu peniaga terlibat,” katanya.

Hari ini MBSA memberi notis akan meroboh atau menyita 101 premis sekitar Bandar Baru Sungai Buloh yang gagal mematuhi notis amaran diberikan pada Isnin dan Selasa lalu.

Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata tindakan itu dikenakan terhadap premis yang menambah atau mengubah suai struktur bangunan tanpa kebenaran pihaknya.


Pengarang :