Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Norita Mohd Sidek dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim menunjukkan borang ikrar bebas rasuah yang telah ditandatangani dalam majlis di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 25 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor maju didorong kesedaran tinggi rakyat tolak rasuah

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kejayaan Selangor menjadi negeri termaju di Malaysia didorong kesedaran tinggi rakyatnya yang menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya kesedaran rakyat di negeri ini adalah tinggi berbanding negeri lain.

“Selangor merupakan negeri maju yang mempunyai 6.5 juta penduduk serta penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan semua ini tidak akan dicapai jika rasuah berleluasa.

“Kita yakin Selangor akan bertambah maju jika ketelusan dan integriti melibatkan semua peringkat atau sektor terus dipertingkatkan,” katanya berucap pada Majlis Melafazkan dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Alias berkata SPRM memberi tumpuan kepada pembaharuan amalan murni berdasarkan dua prinsip teras iaitu integriti dan tadbir urus yang baik.

“Prinsip integriti dan tadbir urus yang baik digunakan di sektor dikenal pasti iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, undang-undang dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat,” katanya.

Semalam Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru kakitangan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Baginda bertitah tindakan segelintir penguat kuasa yang terlibat dalam gejala rasuah mencemarkan reputasi dan imej kerajaan serta pihak berkuasa, selain menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kemampuan penguat kuasa.

Susulan titah tersebut, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berikrar tidak akan mensia-siakan pengiktirafan Juara Bebas Rasuah diterima dari SPRM pada tahun lalu dalam memastikan rekod pencapaian itu tidak lagi tercalar.


Pengarang :