AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor perkenal SELangkad, khusus untuk OKU

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor memperkenalkan kad SELangkad (Kad Selamat Melangkah) iaitu sistem pendaftaran masuk bagi orang kelainan upaya (OKU) ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penjaga premis hanya perlu meminta kad untuk mengimbas kod QR sekali gus memudahkan urusan pengunjung dalam kalangan OKU.

“Alhamdulillah atas komitmen kami, STFC perkenal SELangkad untuk mencapai UHC (perlindungan kesihatan menyeluruh) dengan memastikan tiada sesiapa ditinggalkan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Dalam perkembangan sama laman Facebook SELangkah berkata kad tersebut diberikan secara percuma kepada golongan OKU di Selangor.

“Hari ini SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) maju setapak lagi menerusi pengenalan kad SELangkad yang merupakan kad fizikal dengan kod QR tersendiri untuk kegunaan warga OKU.

“Mereka tidak perlu lagi melakukan proses mengimbas kod QR yang sukar dilakukan terutama melibatkan OKU penglihatan,” katanya.

Pada 4 Mei lalu Selangor memperkenalkan aplikasi SELangkah bagi memudahkan proses menjejak kontak jika berlaku jangkitan wabak Covid-19.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

SELangkah hanya memerlukan maklumat nama dan nombor telefon tanpa mendedahkan data peribadi individu.

Hubungi skuad SELangkad di talian 014-3025655 untuk maklumat lanjut.


Pengarang :