Dr Mohd Azhar Mohamed Ali (kanan) memasang Jalur Gemilang pada kenderaan jabatan pada 21 Ogos lalu. Foto Facebook MDHS
PBTSELANGOR

Semarak patriotisme, penduduk Hulu Selangor diseru kibar Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 23 OGOS: Penduduk Hulu Selangor diseru memasang Jalur Gemilang di pejabat dan kediaman masing-masing sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Yang dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor berkata meskipun negara masih dilanda Covid-19, namun detik bersejarah itu perlu dirai sederhana bagi menyemarak semangat patriotisme.

“Ini juga tanda syukur atas nikmat kemerdekaan yang dicapai sehingga hari ini,” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak menggunakan bendera lusuh dan memasang dalam keadaan betul sebagai penghormatan terhadap negara.

Pada 21 Ogos lalu, Mohd Azhar melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu dengan setiap jabatan menerima bendera.

Beliau turut memasangnya pada kenderaan jabatan sebelum berarak di sekitar Bandar Warisan di situ sebagai simbolik mengajak masyarakat mengibar Jalur Gemilang.


Pengarang :