Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT Fabio Quartararo (kiri) melakukan aksi ‘wheelie’ pada Ujian Pra Musim MotoGP 2020 di Litar Antarabangsa Sepang pada 8 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SIC dalam peringkat memuktamad lanjutan kontrak anjur MotoGP

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini dalam proses untuk memuktamadkan penyambungan kontrak jangka panjang bersama penganjur Grand Prix Motosikal (MotoGP), Dorn Sports.

Meskipun perlumbaan tahun ini dibatalkan susulan Covid-19, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata perbincangan itu menampakkan petanda positif untuk Malaysia terus kekal dalam kalendar Kejohanan Dunia, dengan sokongan kuat peminat dan penaja.

“Kontrak semasa untuk menganjurkan MotoGP adalah sehingga 2021, tapi kami di peringkat akhir untuk memuktamadkan penyambungan kontrak untuk jangka panjang. Kami akan umumkan selepas selesai perincian dan dokumen.

“Kami jangkakan tidak mengalami masalah untuk penyambungan, kami bekerjasama dengan mereka sejak 1999 (MotoGP).

“Kami tidak mengalami masalah untuk melanjutkan tempoh, kami telah bekerjasama dengan mereka (MotoGP) sejak tahun 1999. MotoGP mengambil kira peminat Malaysia dan rakan kongsi untuk menyambung kontrak,” katanya pada sidang media maya hari ini.

Sementara itu, Azhan Shafriman berkata peminat yang telah membeli tiket awal untuk menonton aksi MotoGP 2020 yang dijadual pada 30 Oktober hingga 1 November, boleh menghubungi SIC menerusi talian 03-87782222 atau [email protected] untuk tujuan pemulangan wang.

“Kami belum memutuskan sama ada peminat boleh menggunakan tiket mereka untuk tahun depan, kami akan umumkan sebarang maklumat lanjut, namun, peminat boleh menghubungi kami untuk pemulangan wang. Kami mula menjual tiket awal tahun ini tapi menamatkan jualan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jumlah penjualan tiket adalah antara 20 hingga 30 peratus daripada tahun lepas. Kami bercadang untuk membenarkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan (selepas PKP), namun terpaksa membatalkan perlumbaan demi keselamatan dan kesihatan, memandangkan perlumbaan dengan disaksikan penonton masih belum pasti berlaku,” katanya tanpa mendedahkan angka.

Menurut Azhan Shafriman, pemegang taruh terpaksa membuat keputusan sukar untuk membatalkan perlumbaan demi keselamatan semua susulan situasi tidak menentu Covid-19 serta sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan.

Pada Jumaat lepas, badan pentadbir sukan permotoran – Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports mengumumkan pembatalan perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) di Litar Antarabangsa Sepang, serta GP Argentina dan Thailand.

Azhan Shafriman berkata kerugian yang dialami susulan pembatalan MotoGP 2020 agak besar, namun SIC telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti perancangan dan alternatif jangka pendek dan pertengahan bagi mengimbangi kerugian dialami.

Bagaimanapun, beliau berkata trek perlumbaan ikonik itu hampir penuh ditempah sehingga hujung tahun ini untuk acara sukan permotoran tempatan, di samping bakal menganjurkan beberapa acara antarabangsa seperti MotoGP, Le Mans Asia dan GT Asia pada 2021.

– BERNAMA


Pengarang :