Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan Siti Syuhada Sadiman mengambil bacaan suhu badan pelajar tingkatan lima Mohammad Izzueddin Amirhamza (kiri) yang mendaftar masuk ke asrama sekolah itu pada 23 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sistem baharu masuk ke Sekolah Khusus 2021 – KPM

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan sistem permohonan kemasukan pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Khusus secara single entry point untuk kemasukan tahun hadapan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata ia melibatkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan pelajar ke Sekolah Khusus, iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Menurut kementerian, sistem itu melibatkan permohonan secara berpusat dan juga kaedah pentaksiran standard secara berpusat.

Permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan kemasukan ke SBP dan SMKA untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 4, SMT dan MTD untuk Tingkatan 4 dan Kolej Vokasional untuk Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia.

Menurut kenyataan itu, permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my dan permohonan ke Tingkatan Empat melalui pautan https//:spskt4.moe.gov.my .

Menurut kementerian, semua pemohon akan menduduki pentaksiran secara berpusat di 555 buah pusat pentaksiran yang ditetapkan di seluruh negara.

Tarikh bagi permohonan dalam talian untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 adalah pada 7 September hingga 2 Oktober, manakala semakan pusat pentaksiran bagi Tingkatan 1 pada 7 Oktober hingga 23 Oktober dan Tingkatan 4 pada 12 Oktober hingga 6 November.

Pelaksanaan pentaksiran akan dijalankan untuk Tingkatan 1 pada 12 Oktober hingga 23 Oktober dan Tingkatan 4 pada 26 Oktober hingga 6 November.

KPM memaklumkan pentaksiran kemasukan Sekolah Khusus yang akan dilaksanakan merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20 peratus), Kecerdasan Intelektual (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).

“Kaedah pelaksanaan Ujian Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual adalah secara dalam talian manakala kaedah pelaksanaan ujian Artikulasi Penulisan adalah secara bertulis,” katanya.

KPM berkata maklumat lanjut berhubung pentaksiran tersebut akan dimaklumkan melalui portal KPM pada 1 September.

-BERNAMA


Pengarang :