Ketua Polis Perlis SAC Datuk Surina Saad dengan bantuan pegawainya melakukan pemantauan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Daerah Sanglang. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sivagangga: Semua laluan ke Kuala Sanglang ditutup pagi esok

KUALA PERLIS, 9 OGOS: Semua laluan keluar masuk ke Kuala Sanglang akan ditutup sepenuhnya bermula 8 pagi esok.

Selain itu, pihak polis juga akan memperketatkan kawalan di tiga laluan tikus iaitu satu di Kampung Tanah Timbul dan dua di Kampung Kuala Sanglang, dengan kedua-dua kampung kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata semalam semua penduduk di Kampung Tanah Timbul telah menjalani saringan dan penduduk Kampung Kuala Sanglang pula hari ini, dan apabila proses saringan selesai hari ini semua jalan akan mula ditutup esok.

“Penduduk di kedua-dua kampung tersebut tidak dibenarkan keluar rumah dan mereka perlu melakukan kuarantin di rumah sehingga tempoh Temco tamat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk mendapatkan keperluan makanan terhad di kawasan Temco sahaja.

Sementara itu, Surina berkata pihak polis tidak mengeluarkan sebarang surat membenarkan mana-mana individu keluar masuk kawasan Temco sebaliknya surat kebenaran hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

-BERNAMA


Pengarang :