AGENDANASIONAL

SPRM reman bekas eksekutif kanan syarikat telekomunikasi

SHAH ALAM, 18 OGOS: Seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat telekomunikasi direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan berjumlah hampir RM16,000 antara tahun 2018 hingga 2019.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Ahad dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil di Mahkamah Majistret di sini atas permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

Lelaki berumur 34 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 12.15 tengah hari semalam selepas diambil keterangan.

Menurut sumber SPRM, lelaki itu dipercayai menerima wang suapan itu daripada sebuah syarikat vendor yang membekalkan perkhidmatan dan peralatan telekomunikasi kepada syarikat dia sedang berkhidmat, menerusi syarikat yang dimiliki lelaki berkenaan.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu.

– BERNAMA


Pengarang :