Orang awam berjoging di Taman Tasek Ampang Hilir, Kuala Lumpur pada 17 Jun 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas Kerajaan membenarkan aktiviti riadah di taman awam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

STFC: Selangor ada potensi bebas Covid-19

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor berupaya bebas daripada Covid-19 meskipun pernah menjadi negeri paling teruk terjejas wabak itu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata ia berdasarkan corak kes jangkitan kebelakangan ini yang merekodkan sifar kes dalam tempoh empat hari berturut-turut dari 3 hingga 6 Ogos lalu.

“Pernah menjadi negeri yang paling terjejas dengan Covid-19, pencapaian ini merupakan prestasi terbaik Selangor dan satu kesungguhan yang menginspirasikan dalam perlawanan menggempur wabak,” tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun, pasukan itu terus mengingatkan masyarakat supaya mematuhi norma baharu selain menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) setiap kali memasuki premis.

“Inilah (patuh norma baharu) ‘vaksin’ kita, inilah senjata kita,” katanya lagi.

Selangor mencatat 11 kali sifar kes Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

Hari ini, Selangor merekodkan satu kes baharu membabitkan pengembara yang pulang dari New Zealand sekali gus menjadikan jumlah kes sebanyak 2,139.


Pengarang :