Pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan di depan pintu sekolah sebagai satu tatacara operasi piawai (SOP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sukan, kokurikulum luar bilik darjah dibenarkan mulai 1 September

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah untuk pelajar sekolah mulai 1 September ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini meluluskan pembentangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai garis panduan aktiviti tersebut.

“Garis panduan ini merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri juga berkata antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga, penggunaan bilik mandi dan persalinan dihadkan mengikut kapasiti, memastikan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik serta peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.

Katanya aktiviti sukan dan kokurikulum juga perlu mematuhi Garis Panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta KPM, yang sedia ada.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat khas juga meneliti dan meluluskan garis panduan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Amali Teknikal dan Vokasional yang juga berkuat kuasa 1 September.

Katanya garis panduan tersebut melibatkan lebih 89 Kolej Vokasional serta Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Teknik terpilih.

“Antara garis panduan perlu dipatuhi termasuk menentukan bilangan pelajar berdasarkan kapasiti ruang, tempat, peralatan amali dibersihkan dan disanitasi serta pelajar bergejala tidak akan dibenarkan untuk mengikut amali,” katanya.

Katanya garis panduan lengkap boleh didapati di laman sesawang MKN dan KPM mulai 1 September.

– BERNAMA


Pengarang :