Aksi penjaga gol Arishah Qarinah Mohammed Nijam, 16 tangkas mengawal gawang ketika menjalani sesi latihan bersama skuad hoki Selangor di Stadium Hoki Petaling Jaya pada 2 Jun 2020. Foto ASRI/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Sukma: Skuad hoki lelaki tumpu latihan asas, pilih pemain terbaik

SHAH ALAM, 20 OGOS: Skuad hoki lelaki Selangor kini giat menjalani latihan kecergasan sebelum menyenaraikan 18 pemain terbaik untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Johor.

Jurulatihnya Mohd Harfizi Baharom berkata latihan itu dilakukan di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas semua pemain kembali susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memang diakui prestasi mereka terjejas kerana lama tidak pegang kayu hoki tetapi kita buat latihan kecergasan dan berlatih untuk mengembalikan teknik permainan sama seperti sebelum PKP.

“Seramai 29 pemain berumur bawah 21 tahun juga menjalani latihan untuk pemilihan ke Sukma di Johor,” katanya ketika mengulas mengenai persiapan pasukan itu ke Sukma tahun depan.

Mengenai sasaran pingat, pengendali berusia 32 tahun itu meletakkan harapan untuk mara ke separuh akhir.

Katanya, kali terakhir Selangor meraih kejayaan ketika temasya di Kedah pada 2006 selepas memenangi pingat gangsa.

Tambah Mohd Harfizi, pasukan itu juga bakal mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hujung minggu ini.


Pengarang :