Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad. Foto: Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor, Permaisuri dukacita pemergian Tan Sri Dr Abdul Rahman

SHAH ALAM, 16 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dukacita di atas pemergian Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Sultan Sharafuddin mengenali Allahyarham ketika baginda dilantik sebagai Pro-Canselor universiti itu dari 2000 hingga 2005.

“Sejak itu, setiap kali ada kesempatan bertemu, baginda dan Allahyarham akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa.

“Kali terakhir baginda menerima menghadap Allahyarham ialah pada 9 Julai 2020 lalu di Istana Bukit Kayangan,” titahnya menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda menganggap Allahyarham sebagai seorang yang mesra, kuat semangat dan berpengetahuan tinggi.

Sultan Sharafuddin juga berkenan mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Allahyarham pada 2011.

Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi tadi di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor.


Pengarang :