Projek Gerbang Maritim Selangor memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sungai Klang potensi jadi sumber air baharu – MB

SHAH ALAM, 18 OGOS: Sungai Klang berpotensi menjadi sumber bekalan air baharu kepada Selangor pada masa hadapan berikutan peningkatan kualiti bahan mentah itu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada ketika ini indeks kualiti air sungai tersebut berada pada tahap tiga dan diyakini mampu mencapai tahap dua iaitu lebih baik secara konsisten.

“Saya sudah bertemu Menteri Alam Sekitar dan Air (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) dan antara perkara dibincangkan adalah perkara tersebut (menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air).

“Jika sasaran itu berjaya dipenuhi 1,000 juta liter sehari (MLD) air mentah dapat disalurkan kepada penduduk negeri ini secara berfasa,” katanya pada sidang media Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 Peringkat Selangor 2020 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media Perasmian Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri di Bilik MTES Suk, Shah Alam pada 18 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurut Amirudin Ocean Clean Up sebelum ini melaporkan pungutan sampah di Sungai Klang dianggarkan 10,000 kilogram (kg) setiap hari namun jumlah itu berkurang kepada 4,000 kg.

“Ia menunjukkan perkembangan cukup signifikan kemungkinan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi banyak juga bergantung pada komuniti dan masyarakat kita yang ada kesedaran bersama menjaga kebersihan,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) yang dipertanggungjawabkan dalam aspek pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang memaklumkan jumlah kutipan sampah di situ menurun kepada 4,408 tan setakat Jun berbanding 10,292 tan sepanjang tahun lalu.

LLSB berkata penurunan itu didorong penggunaan alat pembersih sungai (interceptor) yang dilancar pada 26 Ogos selain kesedaran orang awam terhadap dampak pembuangan sampah ke dalam sungai.


Pengarang :