Pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi bersemangat untuk meneruskan kerjaya dalam sukan permotoran. Foto: Instagram Khairul Idham Pawi
AGENDASUKANKINI

Super Kip semangat teruskan kerjaya, akur dibedah

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kehilangan jari kelengkeng pada tangan kanan, sedikit pun tidak melunturkan semangat pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi untuk meneruskan kerjaya dalam sukan permotoran.

Atas nasihat daripada pakar dan pasukannya, pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing itu akur menjalani pembedahan untuk memotong jarinya di Barcelona, Sepanyol, pada Selasa lepas.

Mengakui sukar untuk membuat keputusan berkenaan, namun pelumba berusia 21 tahun itu terpaksa melakukan pembedahan demi masa depannya untuk terus berlumba.

“Sebelum ini, jari kelengkeng saya sukar dibengkokkan kerana ada skru, dan apabila kerap jatuh, ia membawa masalah. Saya berharap, ia tidak memberi gangguan lagi selepas ini,” katanya kepada media Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Pelumba kelahiran Perak, yang terkenal dengan jolokan ‘Super KIP’ itu mengalami kecederaan jari ketika saingan Grand Prix (GP) Sepanyol pada Mei tahun lepas, sebelum selamat menjalani pembedahan di Barcelona.

Kecederaan sama berulang selepas beliau terlibat dalam kemalangan ketika sesi ujian bebas GP Republik Czech di Litar Brno pada 8 Ogos, sebelum pasukan Petronas Sprinta Racing mengambil keputusan merehatkannya daripada GP Styria di Litar Red Bull Ring, Austria, baru-baru ini.

Super KIP masih gagal mengutip sebarang mata manakala rakan sepasukannya, John McPhee menduduki tangga ketiga dengan kutipan 67 mata selepas enam pusingan perlumbaan setakat ini.

-BERNAMA


Pengarang :